Monday, June 30, 2014

Solat Sunat selepas Solat Witir

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ramai orang Islam mengambil peluang untuk mempertingkat amal-amal ibadah mereka lebih-lebih lagi pada waktu malam seperti solat sunat Tarawih, solat sunat Tahajud dan solat sunat Witir.. Akan bertambah rancak lagi pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan yang mana adanya malam lailatul qadar seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
"Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun, apa yang saya ingin tekankan pada kali ini bukanlah berkenaan malam Lailatul Qadar, tetapi berkenaan solat sunat selepas solat Witir. Masih ada lagi masyarakat awam yang keliru sama ada dibolehkan untuk melakukan solat sunat yang lain selepas melakukan solat sunat Witir.
مَن خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ آخِرَ فليُوْتِرْ أَوَّلَهُ، وَمَن طَمِعَ أن يَقُومَ آخِرَهُ فَليُوتِر آخِرَ اللَّيْلِ فّإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيلِ مّشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفضَلُ
"Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam, dia hendaklah berwitir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dinihari bersama oleh para malaikat, dan itulah lebih afdal." [Riwayat Muslim (755)]
 Sebagai contoh, selepas solat sunat Tarawih di masjid atau surau, kita akan melakukan solat Witir bersama-sama imam. Kemudian, pada 1/3 malam, kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk bangun malam, dan kita mahu lakukan solat Tahajud, akan tetapi kita rasa ragu-ragu terhadap solat sunat kita kerana kita telah lakukan solat sunat Witir selepas solat sunat Tarawih tadi. Hal ini demikian kerana ada hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan bahawa solat sunat terakhir pada waktu malam adalah solat sunat Witir:
اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ مِنَ اللَّيْلِ وِتْرًا
“Jadikanlah solat terakhir malam kamu dengan solat witir”
[Hadith riwayat al-Bukhari (953), Muslim (749)].
Oleh hal yang demikian, timbul persoalan sama ada perlu dilakukan solat 'buka witir' iaitu dilakukan solat sunat witir kali kedua atau diteruskan sahaja dengan ibadah sunat seperti tahajud tanpa melakukan solat witir kali kedua?


Solat Witir

Ianya dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 216

Hukum solat Witir.

Dr. Mustofa al-Khin dan lain-lain menyatakan bahawa:
solat witir hukumnya sunat muakkad. Mengikut mazhab Hanafi, hukumnya wajib. Walaupun begitu, pendapat jumhur ulama (Syafi'iah, Malikiah dan Hanabilah) yang mengatakan sunat muakkad adalah lebih kuat berdasarkan hadis Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud: "Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang diwajibkan ke atas kamu, tetapi Rasulullah s.a.w. melakukannya". [Riwayat al-Tarmizi (453) dan yang lainnya]. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 216
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ali r.a, katanya:
إنَّ الوِترَ لَيسَ بِحَتمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكتُوبَةِ وَلَكِن سَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ
Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang diwajibkan ke atas kamu, tetapi Rasulullah s.a.w. melakukannya". [Riwayat al-Tarmizi (453) dan yang lainnya].
Al-Jaziri menyatakan dalam kitabnya:
"Telah sepakat tiga ulama (pendukung mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali) terhadap solat witir bahawa hukumnya adalah sunat. Manakala pendukung mazhab Hanafi menyatakan bahawa solat witir adalah wajib." Lihat: al-Fiqhul ala Mazahibul Arba'ah karangan Abdul Rahman al-Jaziri, jilid 1, cetakan kedua, Berut: Darul Kutub Imiah. m/s: 305.
Wajib Hanya ke atas Rasulullah.

Solat Witir adalah antara perbuatan yang wajib ke atas Rasulullah s.a.w. sahaja dan tidak wajib ke atas manusia, dalam usul fiqh, perbuatan yang hanya wajib ke atas Nabi s.a.w. ini dikategorikan di dalam af'al makhsusoh*. Hal ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. 
ثلاث كتبت علي ولم تكتب عليكم: الضحى، والأضحى، والوتر
"Tiga perkara yang diwajibkan ke atas ku dan tidak diwajibkan ke atas kamu semua: Solat Dhuha, Berkorban (pada hari raya aidiladha) dan Solat Witir" [dikeluarkan oleh al-Hakim dan Ahmad daripada Ibnu Abas].
Hadis di atas diambil daripada kitab Mausu'ah fil Fiqhul Islami wal Qadhaya Mu'asarah karangan Dr. Wahbah az-Zuhaili, jilid 1, cetakan ke 3, Damsyik: Darul Fikr. m/s: 840. 

*Af'al Makhsusoh ialah perkara yang telah ditetapkan khas untuk Nabi s.a.w. dan ianya hanyalah untuknya (Rasulullah s.a.w.) dan orang awam tidak terlibat dalam perkara ini seperti wajib ke atasnya (Rasulullah s.a.w.) solat dhuha, pelaksanaan qurban pada hari raya aidiladha, witir, tahajud pada waktu malam dan dibolehkan baginya (Rasulullah s.a.w.) untuk berpuasa berpanjangan tanpa makan dan berkahwin lebih daripada 4 orang isteri. Perkara-perkara tersebut ialah khusus terhadapnya (Rasulullah s.a.w.) dan tidak sah untuk diikuti oleh orang lain. Lihat: al-Wajiz fi Usul Fiqh karangan Dr. Abdul Karim Zaidan, cetakan pertama, Berut: Muasasah ar-Risalah Nasyirun. m/s 130. Lihat: Madkhal ila 'Ilmi Usul (muqarrar) karangan Dr. Irwan Mohd Subri, Pengarah INFAD USIM 2013/2014, m/s 64.

Solat 'Buka Witir' atau Teruskan Sahaja Tanpa Witir.

Solat 'membuka witir' ini bermaksud melakukan solat Witir untuk kali kedua. Apabila solat witir telah dilakukan, tidak perlu lagi diulangi pada malam yang sama kerana tiada 2 kali witir dalam 1 malam seperti yang dinyatakan di dalam hadis Nabi s.a.w.
 Sabda Nabi s.a.w: Diriwayatkan oleh Talq ibn Ali berkata: Saya telah mendengar Rasulullah  bersabda :
لا وتران في ليلة
“Tidak ada dua witir dalam satu malam” [Hadith riwayat al-Tirmudzi (470), al-Nasaa'i (1679), Abu Daud (1439).] Disahihkan oleh Syiekh al-Bani didalam Sahih al-Jaami' (7567)
Erti kata lain, apabila seseorang yang telah melakukan solat witir sebelum tidur, maka apabila dia terjaga malam lalu melakukan solat tahajjud, tidak perlu lagi dia 'membuka solat witir' ataupun melakukan solat witir lagi. Malahan, diteruskan sahaja solat sunat yang lain. 
Hal ini pernah ditanya kepada bekas Mufti Arab Saudi, syiekh Abdul Aziz ibn Baaz :

Soalan : Jika saya telah bersolat Witr pada awal malam, kemudian saya bangun solat pada akhir malam, bagaimana harus saya solat?

Jawapan : Jika anda telah solat witir pada awal malam kemudian Allah memudahkan kamu berqiam pada akhir malam, maka solatlah mana yang anda mampu, yakni dua rakaat, dua rakaat – tanpa witir. kerana Nabi  bersabda : Tidak ada dua witir dalam satu malam.
Dan telah diriwayatkan dari A’isyah ra. bahawa Nabi  pernah bersolat 2 rakaat selepas witir dalam keadaan baginda duduk, hikmah melakukan begitu cuma Allah yang tahu – adalah ingin memberitahu kepada manusia bahawa dibenarkan solat selepas witir” [Majmu' fataawa al-Syiekh ibn Baaz, 11/311].
Dalam hal melakukan witir bersama Imam didalam solat tarawih, Syiekh Jibrin mengatakan bahawa adalah lebih baik bersolat bersama Imam solat witir secara berjemaah. Beliau mengatakan inilah amalan yang dilakukan oleh Imam Ahmad dan ulama’ 2 lain. [Fataawa Ramadhan, ms 826].
Begitu juga seperti yang dikatakan oleh seorang pendakwah bebas yang masyhur dengan keluasan ilmunya iaitu Ustaz Azhar Idrus. Beliau pernah ditanya mengenai bolehkah melakukan solat sunat lain selepas solat sunat witir.
Beliau menjawab dengan mengemukakan 2 pandapat.

  • Pendapat mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali: Dibolehkan untuk melakukan solat sunat lain selepas melakukan solat sunat witir.
  • Pendapat mazhab Hanafi: Tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat lain selepas melakukan solat sunat witir.
Lihat: http://www.youtube.com/watch?v=i-bTfXJRUWk untuk lebih lanjut.
 Kesimpulan

Kesimpulannya, solat witir itu adalah lebih baik dilakukan pada akhir malam sebagai solat terakhir pada sesuatu malam. Tetapi jika telah melakukannya, kemudian kita tertidur dan terjaga semula, kita masih hendak menunaikan solat tahajud, maka dibolehkan untuk terus menunaikannya tanpa melakukan witir untuk kali kedua, kerana witir hanyalah sekali untuk satu malam seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Solat witir boleh dilakukan 1 rakaat, namun makruh sekiranya dilakukan sebanyaknya 1 rakaat, sebaliknya hendaklah dilakukan dengan 3 rakaat atau yang paling sempurna ialah 11 rakaat seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji:
"Sekurang-kurang solat Witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya 1 rakaat sahaja. Sekurang-kurangnya solat Witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara 2 rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap 2 rakaat dan diakhiri dengan 1 salam." Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 217.
Wallahualam
Muhammad Hazim b. Ahmad

Nota Hati: Diharapkan, penulisan yang ringkas ini dapat menghurai segala kekusutan mengenai keadaan solat sunat selepas solat Witir, adakah dibolehkan atau tidak dibolehkan.

special guest :)