Wednesday, July 16, 2014

Kencing Berdiri Masuk Neraka!

"Jangan kecing berdiri, Nanti masuk neraka!" Jika kita buat tinjauan, rasa-rasa mana yang lebih ramai, lelaki kencing berdiri atau duduk? Ada yang beralasan bahawa kencing berdiri sebab dah tak tahan sangat, dan nak cepat. Jika diperhati, semua tempat yang menawarkan servis tandas awam untuk rakyat akan menyediakan tempat khas untuk kencing berdiri. 
 Jika benar kalau kencing berdiri akan masuk neraka, mengapa pihak berkuasa tidak menghazafkan (menghapuskan) tempat untuk kencing berdiri di tandas-tandas awam seluruh Malaysia? Mengapa pihak JAKIM tidak mengeluarkan fatwa haram kencing berdiri sedangkan JAKIM sangat sensitif dan efisyen dalam mengeluarkan fatwa mengenai hal ehwal semasa.

Apa Hukumnya.
Perkara terdapat khilaf di kalangan ilmuan Islam dalam pensabitan hukum terhadap kencing berdiri ini. Perbincangan ilmiah para ilmuan Islam yang boleh dirumuskan adalah seperti berikut walaupun tidak merangkumi keseluruhan pendapat:

1) Haram.
Hal ini berdasarkan hadis yang disampaikan Saidatina Aisyah r.a.
مَن حَدَثكُم أَنَّ رسول الله صلى الله عليه وسلم بَالَ قَائِمًا فلا تَصَّدَقُوه
Maksudnya: "Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi kencing berdiri, jangan percayakannya." [Riwayat Ahmad dan Ahlu Sunan]
 Umar juga pernah menceritakan mengenai teguran Rasulullah terhadapnya ketika beliau kencing berdiri.
Maksudnya: "Nabi melihat aku kencing berdiri. Lalu baginda bersabda: "Wahai Umar, janganlah kamu kencing berdiri". Lantas aku tidak pernah kencing berdiri lagi sejak itu." [Riwayat al-Tirmizi] (Lihat: Majalah Gen-Q, Isu no. 35 "Kita Semua Mujahid", Telaga Biru, m/s 34)
2) Harus.
Hal ini berdasarkan cerita yang disampaikan oleh sahabat baginda s.a.w. yang bernama Huzaifah.
أَتَى النَّبِى صلى الله عليه وسلم سُبَاطَةُ قَومٍ فَبَالَ قَائِمًا ثُمَّ دَعَا بِمَاءِ فَجِئتُهُ بِمَاءِ فَتَوَضَّأ
Maksudnya: "Nabi pernah pergi ke tempat pembuangan satu kaum. Baginda kencing berdiri di situ. Kemudian baginda meminta air. "Maka aku bawakannya air, lalu beginda berwuduk." [Riwayat al-Bukhari] (Lihat: باب البول قائما وقاعدا )
Perbuatan Nabi ini menunjukkan keharusan kencing berdiri walaupun kebiasaannya Nabi kencing duduk.

3) Makruh: 
Makruh kencing berdiri sekiranya tiada keuzuran padanya. (Lihat: حكم البول قائماً)

Adapun Nabi s.a.w. kencing berdiri adalah disebabkan empat kemungkinan:
  1. Disebabkan ma'biz (luka dari paha ke lutut yang tidak boleh disentuh). Berdasarkan hadis Rasulullah s.a.w. yang disampaikan oleh Abu Hurairah r.a.

    " أن النبي صلى الله عليه وسلم باَلَ قَائِماً مِن جَرَحٍ كَانَ بِمَأبِظُهُ"
    maksudnya: "Sesungguhnya Nabi s.a.w. kencing berdiri kerana ada luka pada ma'biz-nya". [Riwayat Baihaqi dan al-Hakim]
  2. Nabi sakit belakang. Kebiasaannya orang Arab akan kencing berdiri apabila sakit belakang.
  3. Tiada tempat sesuai untuk kencing duduk. Maka, dibolehkan kencing berdiri.
  4. Sibuk dengan urusan orang-orang Islam
 Mana Satu yang Betul? 
 Jadi, mana pendapat yang betul dan diguna pakai? Dari sudut hukum, saya lebih cenderung kepada pendapat harus. Jika dari segi adab, saya lebih menyokong kepada anjuran untuk kencing duduk (cangkung) kerana ia adalah lebih beradab berbanding kencing berdiri dan kemungkinan untuk terkena percikan air kencing itu sangat rendah, kerana pancutan itu berada pada aras yang rendah berbanding kencing berdiri.

Namun, untuk mengatakan ianya adalah haram, lagikan mendakwa kencing berdiri masuk neraka adalah satu sikap yang keras, kerana tiada hadis atau mana-mana dalil syar'ie yang mengatakan kencing berdiri akan masuk ke neraka. Nabi s.a.w. pernah berpesan: "Sesungguhnya agama itu mudah. Jangan sesiapapun keras dalam beragama melainkan dia akan tertewas!" [Riwayat al-Bukhari]
Sebenarnya, tiada pertentangan antara hadis Aisyah r.a. dengan Huzaifah r.a. Masing-masing merakamkan pemerhatian terhadap Nabi s.a.w. berdasarkan pengalaman peribadi. Siti Aisyah begitu tegas menafikan kerana beliau melihat Nabi s.a.w. sentiasa duduk apabila hendak membuang air kecil di rumah. Sedangkan pengalaman beliau di luar rumah bersama Nabi s.a.w. agak jarang berbanding sahabat yang lain. Maka tidak hairanlah kalau ada perbuatan Nabi s.a.w. di luar rumah adalah di luar pengetahuannya. (Lihat: Majalah Gen-Q, Isu no. 35 "Kita Semua Mujahid", Telaga Biru, m/s 35.) (Lihat: حكم التبول قائماً والاستنجاء لكل صلاة )
Diazab kerana Kencing.
Jadi, macam mana boleh wujudnya dakwaan bahawa kencing berdiri masuk ke neraka? Kemungkinan besar berdasarkan hadis Nabi s.a.w. daripada Ibnu Abas r.a. yang diriwayatkan oleh al-Bukhari.
أن رسول الله صلى الله عليه وسلم مَرّ بِقَبرَينِ فَقال : إِنَّهُمَا ليَعْذَبَانِ وَمَا يَعذَبَانِ فِي كَبِيرِ أَمَّا أَحدَهُمَا فَكَانَ لَا يَستَبرَأ مِن البُولِ، وأَمَّا الآخَر فَكَانَ يَمشِي بِالنَّمِيمَةِ
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w. berjalan di sebelah dua kubur, kemudian baginda bersabda: "Sesungguhnya kedua-dua ahli kubur ini sedang diazab, walhal bukan sebab dosa besar mereka diazab. Salah seorangnya tidak membersihkan kencing dengan sempurna. Seorang lagi kerana suka menjajakan cerita (mengumpat, bergosip, menuduh) dan lain-lain.
Jika difikirkan, kecing berdiri berkemungkinan besar akan menyebabkan kita terkena percikan atau tempias air kencing. Namun, kencing duduk (cangkung) juga tidak menjamin air kencing daripada tidak terpercik pada pakaian. Apa yang Nabi s.a.w. ingin tegaskan, berikan perhatian tentang kebersihan diri semasa membuang air kecil.

Maka janganlah buat endah tidak endah yang boleh menyebabkan air kencing terpercik pada pakaian. Orang yang mengambil sikap sambil lewa sebegini, sama sahaja akibatnya. Tidak kiralah sama ada kencing berdiri atau duduk!

Syarat Kencing Berdiri.
Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin pernah ditanya berkenaan hukum kencing berdiri, dan soal jawab ini telah dirakamkan dalam kitabnya untuk dijadikan panduan kepada orang awam,
Soalan: Apakah hukum kencing berdiri?
Jawapan: Kencing berdiri dibolehkan dengan 2 syarat:
(1) terpelihara daripada percikan air kencing.
(2) terpelihara daripada melihat salah satu daripada auratnya. 
(Lihat: Majmuk Fatawa wa Rasail Fadhilah Syeikh Muhammad bin Soleh al-'Uthaimin, dihimpun dan disusun oleh: Fahad bin Nasir al-Sulaiman, Jilid 11 (Fatawa Fiqh), Cetakan Pertama, Arab Saudi: Darul Surya lil Nasyir, Fatwa ke 24, m/s 109)
Adab-adab di Tandas.
Maka ada baiknya kita belajar adab-adab dan sunnah-sunnah di tandas (bilik air) berikut agar kita banyak mendapatkan manfaat baik di dunia (kesihatan) maupun di akhirat (agama) yang telah diajarkan Rasulullah SAW:

1. Buang air mencangkung (tidak berdiri jika tidak terpaksa/darurat), agar kotoran boleh keluar lancar sehingga tidak menjadi penyebab batu karang mahupun lemah syahwat

2. Menggunakan alas kaki

Menurut kajian di Amerika Syarikat di dalam kamar mandi/bilik air ada sejenis virus dengan type Americanus yang masuk melalui tapak kaki orang yang ada di bilik air tersebut. Dengan proses waktu yang panjang virus tersebut naik ke atas tubuh dan ke kepala merosak jaringan otak yang menyebabkan otak lemah tak mampu lagi mengingat, blank semua memori otak sehingga nyanyuk. Sandal hendaknya diletakkan di luar bilik air, jangan di dalam bilik air, kerana semakin kotor, lembab dan tidak mengenai sasaran kebesihan.

3. Masuk kamar mandi  /bilik air dengan kaki kiri dan keluar dengan kaki kanan

Inilah sunnah yang diperintahkan oleh Nabi, dan juga disunnahkan untuk membaca doa sebelum masuk kamar mandi (doa dibaca di luar bilik mandi) dan setelah keluar dari bilik mandi. Berbeza jika kita masuk masjid dan rumah, masuk masjid atau rumah dengan kaki kanan dan keluar dengan kaki kiri.

4. Beristinjak dengan air dan dengan tangan kiri

Beristinjak (bersuci dan membersihkan kotoran) dengan air, bukan dengan tissue atau lainnya kecuali jika tidak ditemukan air ketika dihutan, padang pasir dsb. Boleh gunakan tissue tapi harus dibilas lagi dengan air setelahnya. Syarat kebersihan dan kesucian dari najis menurut syariat adalah hilang warna, hilang bau, dan hilang rasa dari najis tersebut. Beristinjak juga disunnahkan dengan tangan kiri, inilah pembahagian tugas dari tangan, bagaimana tangan kiri untuk urusan ‘belakang’ sedangkan untuk makan & minum disunnahkan dengan tangan kanan, jangan dicampuradukkaan, tangan yang untuk urusan belakang itu juga untuk makan. Dan Nabi melarang makan & minum dengan tangan kiri.

5. Jangan merancang/merencana sesuatu di bilik air

Nabi sangat melarang merancang atau membuat suatu rancangan/idea/inspirasi di dalam bilik air, kerana bilik air adalah markas syaitan sebagaimana doa kita ketika hendak masuk bilik air: “Allahumma inni a’udzubika minal khubutsi wal khabaits”, Yaa Allah, aku berlindung kepada-Mu dari godaan syaitan laki-laki maupun perempuan”.

Kerana dikhuatiri rancangan / idea / inspirasi yang didapati berasal dari bisikan syaitan yang kelihatannya baik tapi setelah dijalankan ternyata banyak mudarat/keburukannya. Begitu juga setelah keluar bilik air, baca istighfar dan doa keluar bilik air. Secara adab dan budaya pun sangat tidak baik, sambil buang kotoran mencari idea/inspirasi atau merancangkan sesuatu yang baik apalagi sesuatu itu menyangkut hajat hidup orang ramai. Disunahkan juga untuk menyegerakan keluar bilik air apabila hajat sudah selesai, bukan malah bernyanyi-nyanyi apalagi sambil baca buku atau akhbar.

6. Ketika buang air dilarang menghadap atau membelakangi kiblat, apabila lubang bilik air menghadap kiblat hendaklah ketika buang air badan agak diserongkan sedikit

Apabila sunnah diamalkan walaupun dalam bilik air maka kita ini juga namanya ibadah. Betapa sayangnya setiap hari kita ke bilik air beberapa kali tapi tidak mendapatkan pahala ibadah dengan menghidupkan sunnah. Padahal salah satu maksud dan tujuan manusia diciptakan adalah untuk ibadah.
Konsklusi.
Tidak salah untuk kencing berdiri, namun kencing duduk adalah sunnah Nabi s.a.w. sepertimana yang telah dinyatakan oleh saidatina Aisyah r.a.
مَن حَدَثكُم أَنَّ النبي صلى الله عليه وسلم كان يَبُولُ قَائِمًا فَلاَ تَصَدَقُوهُ ، مَا كانَ يَبُولُ إِلا قَاعِدًا
Maksudnya: "Sesiapa yang memberitahu kamu bahawa Nabi kencing berdiri, jangan percayakannya. kerana Nabi hanya kencing dalam keadaan duduk" [Riwayat al-Nasa'i, Tirmizi, Ibnu Majah dan al-Thiyalisi]
Kencing duduk itu lebih menepati adab kesopanan dan lebih mendekati kebersihan. Lebih berjaga-jaga daripada azab kubur. Walaupun Nabi pernah kencing berdiri, tetapi itu bukanlah bermakna digalakkan kencing berdiri.

-Wallahualam-
Muhammad Hazim b. Ahmad

Nota Hati: Kebersihan dan kesucian adalah perkara yang penting dalam kehidupan. Adapun hadis berkenaan ahli kubur yang diazab kerana tidak membasuh kencingnya dengan cermat dan suka mengumpat atau mencaci itu bukanlah bermakna seseorang itu tidak boleh kencing berdiri. Biarpun Nabi s.a.w. pernah kencing berdiri, namun baginda tidak menggalakkan orang lain melakukannya sepertimana Umar r.a. pernah ditegur oleh Rasulullah kerana kencing berdiri.

Wednesday, July 09, 2014

Had Sempadan yang Membolehkan Mengumpat

Apakah itu mengumpat (ghibah)? Rasulullah SAW telah menjelaskan perkara mengumpat dalam sabdanya:

أَتَدْرُونَ الغِيْبَةُ؟ قَالُوا: اللهُ وَرَسُولُهُ أَعْلَمْ. قَالَ: ذِكْرُكَ أَخَاكَ بِمَا يَكْرَهُ. قِيلَ: أَفَرَيْتَ إِنْ كَانَ فِي أَخِي مَا أَقُولُ؟ قَالَ: إِنْ كَانَ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدِ اغْتَبْتَهُ وَإِنْ لَمْ يَكُنْ فِيهِ مَا تَقُولُ فَقَدْ بَهَتَّهُ
"Tahukah kamu apa itu Ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab: Hanya Allah SWT dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui. Baginda SAW menyambung: Mengumpat itu, apabila kamu menyebutkan sesuatu yang dibenci oleh saudaramu! Sahabat bertanya: Bagaimanakah kalau sekiranya apa yang aku katakan itu memang betul ada pada saudaraku? Baginda SAW menjawab: Kalau betul apa yang katakan itu ada padanya, maka kamu sudah mengumpatnya. Dan kalau kamu katakan itu tiada padanya, maka kamu sudah menuduhnya." [Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaie]
Terdapat pelbagai gambaran yang dikecualikan oleh ulama Islam daripada mengumpat yang diharamkan iaitu pengecualian yang hanya boleh digunakan ketika berada dalam keadaan darurat sahaja. Antara hal yang darurat itu ialah menceritakan kezaliman yang menimpa dirinya, bertanya kerana ingin mengetahui tentang diri orang lain, meminta fatwa, memohon bantuan mengubah kemungkaran, memanggil gelaran yang sudah dikenali, mencacatkan saksi dan pemimpin yang zalim.

Asas yang Menetapkan Bolehnya Mengumpat
Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan mengenai asas yang membolehkan seseorang itu mengumpat adalah bergantung kepada 2 perkara iaitu Keperluan yang mendesak dan Niat atau tujuan dari mengumpat itu.
Apabila tiada keperluan yang mendesak untuk menyebut sesuatu tentang orang yang ghaib dari hal yang tidak disukainya, maka tidaklah wajar sehingga dia berani untuk melepasi benteng yang telah diharamkan ini. Kalau keperluannya boleh diselesaikan dengan isyarat sahaja, tidak perlulah dia memilih jalan yang terang-terangan. Kalau cukup dengan mengatakan secara umum sahaja, maka tidak perlu pada pengkhususan. (Yusuf al-Qardhawi, al-Halal wal Haram fil Islam, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, Nilai: Cetakan ketiga, Pustaka Cahaya Kasturi, m/s 601)
Tentang niat dan tujuan pula, ianya adalah suatu perkara yang amat penting, kerana manusia itu mengenali dirinya dan lebih mengetahui tentang hakikat dorongannya dari orang lain. Niatlah yang menentukan tujuan perlakuannya sama ada membuat kezaliman atau memuaskan hati sahaja, juga di antara sekadar meminta fatwa hukum atau sengaja hendak memburukkan orang lain, antara mengumpat atau mengkritik, antara maksud nasihat atau hendak menyebarkan keburukan seseorang. Seorang mukmin itu, sebagaimana yang dikatakan, adalah lebih patut menghitung dirinya daripada seorang pemerintah yang jahat ataupun seorang rakan kongsi yang kedekut. (Yusuf al-Qardhawi, al-Halal wal Haram fil Islam, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, Nilai: Cetakan ketiga, Pustaka Cahaya Kasturi, m/s 602)
1) Menceritakan Kezaliman yang Menimpa Dirinya
Apabila orang yang teraniaya mengadukan hal dan perbuatan orang yang menzalimi dirinya, kemudian diceritakan apa yang tidak menyenangkan dirinya dari perkara yang benar-benar berlaku. Orang ini dibolehkan menceritakan kezaliman yang menimpa dirinya, dan boleh membuat pengaduan ke atas orang yang mezaliminya.

Hal ini jelas dinyatakan di dalam al-Quran pada surah al-Nisa' ayat 148:
"Allah SWT tidak menyukai pendedahan perkataan yang buruk (kepada orang ramai), kecuali dari orang yang teraniaya, dan adalah Allah SWT itu Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (Surah al-Nisa': 148)
2) Bertanya kerana Ingin Mengetahui Tentang Diri Orang Lain
Ada kalanya seseorang bertanya kerana ingin mengetahui tentang diri orang lain kerana mahu berkongsi dengannya mengenai perniagaan, ataupun dia mahu mengahwinkan puterinya kepada orang itu, ataupun dia ingin melantiknya untuk menjawat suatu kerja yang penting. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa perkara ini bertentangan dengan kewajipan memberi nasihat dalam agama dengan menjaga kewajipan menjaga kehormatan orang yang ghaib (tiada di hadapannya), namun beliau berpendapat bahawa dalam hal ini, kewajipan yang pertama iaitu untuk mengenali seseorang atas tujuan atau sebab-sebab yang mulia adalah lebih penting dan lebih suci, maka perkara ini harus diutamakan dari yang lain. (Yusuf al-Qardhawi, al-Halal wal Haram fil Islam, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, Nilai: Cetakan ketiga, Pustaka Cahaya Kasturi, m/s 600)

Suatu peristiwa yang diambil dari kitab al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, Fatimah binti Qais datang menemui Nabi SAW untuk meminta nasihat baginda SAW perihal dua orang lelaki yang menyembunyikan keadaan mereka yang datang untuk meminangnya, maka nabi SAW tidak menyembunyikan keadaan mereka yang sebenar dengan berkata: Yang pertama itu adalah miskin papa, tidak mempunyai sebarang harta! Manakala seorang lagi diumpamakan dengan lelaki yang tidak melepaskan tongkat dari tengkuknya, tegasnya dia suka memukul isteri. Seterusnya baginda SAW menyerahkan perkara itu untuk dipilih sendiri oleh wanita yang bertanya itu.

3) Meminta Fatwa
Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan lagi, orang yang meminta fatwa hukum contohnya, orang beranya hendaklah menceritakan perkara yang sebenar. Jika dia mengatakan "Apa pendapat kamu tentang seorang lelaki yang melakukan begini dan begitu....!" Tidaklah perlu dia menanyakan dengan mengataka "Apa pendapat kamu tentang si fulan bin si fulan yang melakukan..." itupun semuanya disyaratkan dia tidak menyebut sesuatu yang lain dari yang betul-betul berlaku, kalau tidak, maka semua itu dikira dusta yang diharamkam. (Yusuf al-Qardhawi, al-Halal wal Haram fil Islam, terjemahan Dr. Zulkifli al-Bakri, Nilai: Cetakan ketiga, Pustaka Cahaya Kasturi, m/s 600-601)

4) Memohon Bantuan Mengubah Kemungkaran
Mereka yang hendak memohon bantuan seseorang atau sesuatu pihak untuk mengubah atau mencegah kemungkaran, hendaklah mereka memberitahu perkara yang sebenar tanpa menambah apa-apa yang tiada pada asalnya.

5) Memanggil Gelaran yang Sudah dikenali
Jika ada orang yang mempunyai gelaran atau panggilan, atau sifat, atau namanya yang sememangnya begitu, yang mana apabila dipanggil dengan nama itu atau gelaran tersebut kelihatan kurang senang, akan tetapi dia memang sudah dikenali dengan nama atau panggilan tersebut seperti si pincang, si buta atau anak dara si wanita itu.

6) Mencacatkan Para Saksi
Mencacatkan para saksi dengan menyebutkan keaibannya supaya ditolak penyaksiannya, dan juga mencacatkan para perawi hadis dan berita-berita yang disebutkannya.

7) Ahli bid'ah, Fasiq dan Pemimpin yang Zalim.
 Abi al-Walid bin Rasyad al-Qurtubi menyatakan dalam kitabnya berkenaan siapa yang dibolehkan untuk diumpat. Beliau dikhabarkan daripada Ibn Wahab, daripada Abdullah bin al-Syeikh daripada rijal daripada al-Hasan bahawa al-Hasan al-Basri berkata:
"Tiga golongan yang boleh diumpat di dalam Islam iaitu pemilik bid'ah* yang menzahirkan bid'ahnya, imam (pemimpin) yang zalim dan al-Fasiq yang melakukan kefasiqan secara terang-terangan."
Muhammad bin Rasyad berkata: Maksud kata-kata al-Hasan al-Basri ini ialah tiada mengumpat yang dibenarkan oleh Islam kecuali pada tiga golongan ini. (Lihat: Abi al-Walid bin Rasyad al-Qurtubi, al-Bayan wal Tahsil wal Syarah wal Taujih fil Masailil Mustakhrijah, dikemaskini oleh Dr. Muhammad Hajiyyi, bab Kitabul Jamik at-Tasi', Darul Gharbil Islami, m/s: 546. Lihat: فصل: مسألة من لا غيبة فيه | نداء الايمان)

*Bid'ah yang dimaksudkan ialah bid'ah yang ditolak oleh syarak iaitu Bid'ah Dholalah.

Siapa yang Mendengar Sama dengan Orang yang Mengumpat Pada Perlakuannya
Apa yang sudah diputuskan dalam Islam, bahawa orang yang mendengar itu adalah sama dengan orang ynag mengumpat pada perlakukannya. Ini kerana yang wajib ke atasnya ialah supaya dia membantu saudaranya pada masa ketiadaannya serta membelanya ketika dia tiada.

Nabi SAW bersabda:
مَنْ ذَبَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الغِيبَةَ، كَانَ حَقًّا عَلَى أَنْ يُعْتِقَهُ مِنَ النَّارِ
"Sesiapa yang menghalang seseorang dari mencacatkan kehormatan diri dari saudaranya, maka Allah SWT pasti akan membebaskannya dari api neraka." [Riwayat Imam Ahmad dengan sanad yang baik]

Nabi SAW bersabda dalam hadis yang lain:
مَنْ رَدَّ عَنْ عِرْضِ أَخِيهِ الدُّنْيَا، رَدَّ اللهُ عَنْ وَجْهِهِ النَّارَ يَومَ القِيَامَةِ
"Siapa yang menolak orang yang mencaci kehormatan saudaranya di dunia, nescaya Allah SWT akan menolak api neraka dari mengenai wajahnya di hari kiamat." [Riwayat al-Tirmizi dengan sanad yang baik]
Barangsiapa yang tidak mempunyai semangat yang baik seperti ini, dan tidak berkemampuan untuk mencegah dari perkataan-perkataan yang celupar itu dari mencemar kehormatan saudaranya, maka dia hendaklah menjauhkan dirinya dari duduk dalam majlis tersebut, ataupun cuba menarik perhatian orang-orang yang jahat ini kepada topik atau perbicaraan yang lain. Kalau tidak, maka wajarlah dia dimasukkan ke dalam kumpulan orang-orang yang telah disebutkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya ini:
"Sesungguhnya kamu pun adalah sama dengan mereka!" (Surah al-Nisa': 140)
Nota Hati: Bukanlah entri ini untuk menggalakkan para muslim untuk mengumpat, tetapi untuk membuka minda para muslim bahawa ada beberapa perkara yang dibenarkan oleh Islam untuk kita mengumpat tetapi hendaklah berlandaskan pada keperluan yang mendesak dan juga niat dan tujuan mengumpat itu. Perlu diingatkan, bahawa hukum tetap bagi mengumpat adalah haram seperti mana yang telah dinyatakan dalam al-Quran pada surah al-Hujurat ayat 12: "dan janganlah sebahagian daripada kamu mengumpat sebahagian yang lain. Apakah suka salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati, tentu kamu akan menjijikannya, bukan?"

Monday, June 30, 2014

Solat Sunat selepas Solat Witir

Pada bulan Ramadhan yang mulia ini, ramai orang Islam mengambil peluang untuk mempertingkat amal-amal ibadah mereka lebih-lebih lagi pada waktu malam seperti solat sunat Tarawih, solat sunat Tahajud dan solat sunat Witir.. Akan bertambah rancak lagi pada 10 malam terakhir di bulan Ramadhan yang mana adanya malam lailatul qadar seperti yang disebutkan di dalam sebuah hadis Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim:
التمسوها في العشر الأواخر من رمضان
"Carilah ia (malam al-qadar) di sepuluh malam terakhir dari bulan ramadhan" 
(Riwayat Bukhari dan Muslim)
Namun, apa yang saya ingin tekankan pada kali ini bukanlah berkenaan malam Lailatul Qadar, tetapi berkenaan solat sunat selepas solat Witir. Masih ada lagi masyarakat awam yang keliru sama ada dibolehkan untuk melakukan solat sunat yang lain selepas melakukan solat sunat Witir.
مَن خَافَ أَنْ لاَ يَقُومَ آخِرَ فليُوْتِرْ أَوَّلَهُ، وَمَن طَمِعَ أن يَقُومَ آخِرَهُ فَليُوتِر آخِرَ اللَّيْلِ فّإِنَّ صَلاَةَ آخِرِ اللَّيلِ مّشْهُودَةٌ وَذَلِكَ أَفضَلُ
"Sesiapa yang takut tidak terbangun pada saat akhir malam, dia hendaklah bersolat Witir lebih awal, dan sesiapa yang bersungguh-sungguh untuk bangun pada akhir malam, dia hendaklah berwitir pada akhir malam. Sesungguhnya solat pada akhir malam dinihari bersama oleh para malaikat, dan itulah lebih afdal." [Riwayat Muslim (755)]
 Sebagai contoh, selepas solat sunat Tarawih di masjid atau surau, kita akan melakukan solat Witir bersama-sama imam. Kemudian, pada 1/3 malam, kita dipermudahkan oleh Allah s.w.t. untuk bangun malam, dan kita mahu lakukan solat Tahajud, akan tetapi kita rasa ragu-ragu terhadap solat sunat kita kerana kita telah lakukan solat sunat Witir selepas solat sunat Tarawih tadi. Hal ini demikian kerana ada hadis Nabi s.a.w. yang menyatakan bahawa solat sunat terakhir pada waktu malam adalah solat sunat Witir:
اجْعَلُوا آخِرَ صَلَاتِكُمْ مِنَ اللَّيْلِ وِتْرًا
“Jadikanlah solat terakhir malam kamu dengan solat witir”
[Hadith riwayat al-Bukhari (953), Muslim (749)].
Oleh hal yang demikian, timbul persoalan sama ada perlu dilakukan solat 'buka witir' iaitu dilakukan solat sunat witir kali kedua atau diteruskan sahaja dengan ibadah sunat seperti tahajud tanpa melakukan solat witir kali kedua?


Solat Witir

Ianya dinamakan demikian kerana ditamatkan dengan satu rakaat, dan berbeza dengan solat yang lain. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 216

Hukum solat Witir.

Dr. Mustofa al-Khin dan lain-lain menyatakan bahawa:
solat witir hukumnya sunat muakkad. Mengikut mazhab Hanafi, hukumnya wajib. Walaupun begitu, pendapat jumhur ulama (Syafi'iah, Malikiah dan Hanabilah) yang mengatakan sunat muakkad adalah lebih kuat berdasarkan hadis Sayyidina Ali r.a. yang bermaksud: "Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang diwajibkan ke atas kamu, tetapi Rasulullah s.a.w. melakukannya". [Riwayat al-Tarmizi (453) dan yang lainnya]. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 216
Hal ini berdasarkan hadis, daripada Ali r.a, katanya:
إنَّ الوِترَ لَيسَ بِحَتمٍ كَصَلاَتِكُمُ الْمَكتُوبَةِ وَلَكِن سَنَّ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيهِ وَسَلَّمَ
Solat Witir tidaklah wajib seperti solat yang diwajibkan ke atas kamu, tetapi Rasulullah s.a.w. melakukannya". [Riwayat al-Tarmizi (453) dan yang lainnya].
Al-Jaziri menyatakan dalam kitabnya:
"Telah sepakat tiga ulama (pendukung mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali) terhadap solat witir bahawa hukumnya adalah sunat. Manakala pendukung mazhab Hanafi menyatakan bahawa solat witir adalah wajib." Lihat: al-Fiqhul ala Mazahibul Arba'ah karangan Abdul Rahman al-Jaziri, jilid 1, cetakan kedua, Berut: Darul Kutub Imiah. m/s: 305.
Wajib Hanya ke atas Rasulullah.

Solat Witir adalah antara perbuatan yang wajib ke atas Rasulullah s.a.w. sahaja dan tidak wajib ke atas manusia, dalam usul fiqh, perbuatan yang hanya wajib ke atas Nabi s.a.w. ini dikategorikan di dalam af'al makhsusoh*. Hal ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w. 
ثلاث كتبت علي ولم تكتب عليكم: الضحى، والأضحى، والوتر
"Tiga perkara yang diwajibkan ke atas ku dan tidak diwajibkan ke atas kamu semua: Solat Dhuha, Berkorban (pada hari raya aidiladha) dan Solat Witir" [dikeluarkan oleh al-Hakim dan Ahmad daripada Ibnu Abas].
Hadis di atas diambil daripada kitab Mausu'ah fil Fiqhul Islami wal Qadhaya Mu'asarah karangan Dr. Wahbah az-Zuhaili, jilid 1, cetakan ke 3, Damsyik: Darul Fikr. m/s: 840. 

*Af'al Makhsusoh ialah perkara yang telah ditetapkan khas untuk Nabi s.a.w. dan ianya hanyalah untuknya (Rasulullah s.a.w.) dan orang awam tidak terlibat dalam perkara ini seperti wajib ke atasnya (Rasulullah s.a.w.) solat dhuha, pelaksanaan qurban pada hari raya aidiladha, witir, tahajud pada waktu malam dan dibolehkan baginya (Rasulullah s.a.w.) untuk berpuasa berpanjangan tanpa makan dan berkahwin lebih daripada 4 orang isteri. Perkara-perkara tersebut ialah khusus terhadapnya (Rasulullah s.a.w.) dan tidak sah untuk diikuti oleh orang lain. Lihat: al-Wajiz fi Usul Fiqh karangan Dr. Abdul Karim Zaidan, cetakan pertama, Berut: Muasasah ar-Risalah Nasyirun. m/s 130. Lihat: Madkhal ila 'Ilmi Usul (muqarrar) karangan Dr. Irwan Mohd Subri, Pengarah INFAD USIM 2013/2014, m/s 64.

Solat 'Buka Witir' atau Teruskan Sahaja Tanpa Witir.

Solat 'membuka witir' ini bermaksud melakukan solat Witir untuk kali kedua. Apabila solat witir telah dilakukan, tidak perlu lagi diulangi pada malam yang sama kerana tiada 2 kali witir dalam 1 malam seperti yang dinyatakan di dalam hadis Nabi s.a.w.
 Sabda Nabi s.a.w: Diriwayatkan oleh Talq ibn Ali berkata: Saya telah mendengar Rasulullah  bersabda :
لا وتران في ليلة
“Tidak ada dua witir dalam satu malam” [Hadith riwayat al-Tirmudzi (470), al-Nasaa'i (1679), Abu Daud (1439).] Disahihkan oleh Syiekh al-Bani didalam Sahih al-Jaami' (7567)
Erti kata lain, apabila seseorang yang telah melakukan solat witir sebelum tidur, maka apabila dia terjaga malam lalu melakukan solat tahajjud, tidak perlu lagi dia 'membuka solat witir' ataupun melakukan solat witir lagi. Malahan, diteruskan sahaja solat sunat yang lain. 
Hal ini pernah ditanya kepada bekas Mufti Arab Saudi, syiekh Abdul Aziz ibn Baaz :

Soalan : Jika saya telah bersolat Witr pada awal malam, kemudian saya bangun solat pada akhir malam, bagaimana harus saya solat?

Jawapan : Jika anda telah solat witir pada awal malam kemudian Allah memudahkan kamu berqiam pada akhir malam, maka solatlah mana yang anda mampu, yakni dua rakaat, dua rakaat – tanpa witir. kerana Nabi  bersabda : Tidak ada dua witir dalam satu malam.
Dan telah diriwayatkan dari A’isyah ra. bahawa Nabi  pernah bersolat 2 rakaat selepas witir dalam keadaan baginda duduk, hikmah melakukan begitu cuma Allah yang tahu – adalah ingin memberitahu kepada manusia bahawa dibenarkan solat selepas witir” [Majmu' fataawa al-Syiekh ibn Baaz, 11/311].
Dalam hal melakukan witir bersama Imam didalam solat tarawih, Syiekh Jibrin mengatakan bahawa adalah lebih baik bersolat bersama Imam solat witir secara berjemaah. Beliau mengatakan inilah amalan yang dilakukan oleh Imam Ahmad dan ulama’ 2 lain. [Fataawa Ramadhan, ms 826].
Begitu juga seperti yang dikatakan oleh seorang pendakwah bebas yang masyhur dengan keluasan ilmunya iaitu Ustaz Azhar Idrus. Beliau pernah ditanya mengenai bolehkah melakukan solat sunat lain selepas solat sunat witir.
Beliau menjawab dengan mengemukakan 2 pandapat.

  • Pendapat mazhab Syafie, Maliki dan Hanbali: Dibolehkan untuk melakukan solat sunat lain selepas melakukan solat sunat witir.
  • Pendapat mazhab Hanafi: Tidak dibolehkan untuk melakukan solat sunat lain selepas melakukan solat sunat witir.
Lihat: http://www.youtube.com/watch?v=i-bTfXJRUWk untuk lebih lanjut.
 Kesimpulan

Kesimpulannya, solat witir itu adalah lebih baik dilakukan pada akhir malam sebagai solat terakhir pada sesuatu malam. Tetapi jika telah melakukannya, kemudian kita tertidur dan terjaga semula, kita masih hendak menunaikan solat tahajud, maka dibolehkan untuk terus menunaikannya tanpa melakukan witir untuk kali kedua, kerana witir hanyalah sekali untuk satu malam seperti yang dinyatakan dalam hadis di atas.

Solat witir boleh dilakukan 1 rakaat, namun makruh sekiranya dilakukan sebanyaknya 1 rakaat, sebaliknya hendaklah dilakukan dengan 3 rakaat atau yang paling sempurna ialah 11 rakaat seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji:
"Sekurang-kurang solat Witir ialah satu rakaat, tetapi makruh melakukannya 1 rakaat sahaja. Sekurang-kurangnya solat Witir ialah tiga rakaat, iaitu melakukannya secara 2 rakaat bersambung dan satu rakaat lagi berasingan. Sementara yang paling sempurna adalah melakukannya sebanyak sebelas rakaat dengan mengucap salam selepas setiap 2 rakaat dan diakhiri dengan 1 salam." Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam As-Syafie karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugha dan Ali As-Syarbaji, cetakan ke 14, Berut: Darul Qalam. m/s 217.
Wallahualam
Muhammad Hazim b. Ahmad

Nota Hati: Diharapkan, penulisan yang ringkas ini dapat menghurai segala kekusutan mengenai keadaan solat sunat selepas solat Witir, adakah dibolehkan atau tidak dibolehkan.

Sunday, June 29, 2014

Qiyam Ramadhan - Berapa Rakaat Sebenarnya

Setiap tahun, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia dan selama itulah juga kita dapati di mana-mana sahaja dalam kelompok masyarakat Islam di Malaysia khususnya, mengimarahkan malam-malam pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ibadat sunat seperti solat sunat Tarawikh, solat sunat Witir, tadarus al-Quran, bersedekah, beriktikaf di rumah-rumah Allah dan banyak lagi.
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Bukhari (37) dan Muslim (759) yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikan solat (Terawikh) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan dosanya yang telah lalu".
Qiyam Ramadhan

Solat Tarawih disyariatkan khusus pada bulan Ramadhan. Ia sunatkan dilakukan secara berjemaah dan juga sah jika dilakukan bersendirian. Menurut Dr, Mustofa al-Khin dan lain-lainya, dinamakan solat ini sebagai Tarawih kerana mereka yang melakukannya akan berhenti berehat setiap kali selesai empat rakaat. Solat ini juga dinamakan sebagai Qiam Ramadhan (Ibadah Malam Ramadhan). Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 238.


Rakaat Solat Tarawih

Jika dilihat di Malaysia, kebanyakan tempat mengerjakan solat Tarawih sebanyak (20 + 3) 20 rakaat berserta 3 witir, dan ada juga sesetengah tempat mengerjakannya sebanyak (8 + 3) 8 rakaat berserta 3 witir. Kedua-dua ini diterima oleh syarak kerana berpandukan dalil-dalil yang sohih.

Dalil berkenaan 11 rakaat (8 + 3):

Solat tarawih yang lebih utama adalah yang sesuai dengan Sunah Nabi, iaitu berjumlah 11 rakaat. Banyak hadis yang menunjukkan Rasulullah telah melakukan dan mengimami solat tarawih sebanyak sebelas rakaat. Lihat: http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=54790
Aisyah r.a. pernah ditanya oleh Abu Salamah Abdul Rahman berhubung solat Nabi khusus di malam Ramadan, “Bagaimana solat Rasul pada bulan Ramadan?” Beliau menjawab, “(Nabi) tidak pernah menambah, sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain, lebih daripada sebelas rakaat.” (Muttafaq alaihi)
Dalam riwayat lain menyatakan:
Daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. bersolat pada bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan witir. [Riwayat Ibn Nasir dan Tabrani, dihasankan (dimuliakan) oleh Syeikh al-Bani]
Juga terdapat riwayat lain menyatakan:
Dalam riwayat Saib bin Yazid r.a., beliau berkata, “Umar al-Khattab r.a. mengarahkan Ubai bin Ka'ab r.a. dan Tamim Ad-Dari r.a. mengimami solat tarawih pada bulan Ramadan dengan sebelas rakaat." [Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwatta' dan disohihkan oleh Syeikh al-Bani]
Ada pun Nabi s.a.w. pernah bertarawih sebanyak 13 rakaat seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abas:
Daripada Ibnu Abas, bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat sebanyak 13 rakaat pada waktu malam. [Riwayat Bukhari] Ini merupakan tambahan daripada 11 rakaat.

Dalil berkenaan 23 rakaat (20 + 3):
Daripada Abdul Rahman bin Abdun al-Qari, katanya: "Pada malam bulan Ramadhan aku pergi ke masjid bersama-sama Umar al-Khattab r.a.. Terdapat ramai orang berkelompok-kelompok. Ada yang solat sendirian dan ada pula yang bersolat berjemaah dengan kumpulan-kumpulan kecil. Umar berkata: Aku fikir alangkah baiknya kalu aku kumpulkan mereka mengikut seorang qari sahaja sebagai imam. Lalu Umar pun berusaha mengumpulkan mereka supaya berimamkan Ubay bin Ka'ab. Pada satu malam yang lain, aku keluar lagi bersama-samanya sedangkan kesemua orang ramai mengerjakan solat berjemaah dengan seorang imam sahaja. Umar berkata: Alangkah baiknya perbuatan bid'ah* ini, namun orang yang tidur untuk bangun solat pada akhir malam lebih baik daripada mereka yang mengerjakannya sekarang. Orang ramai ketika itu mengerjakan solat tersebut pada waktu malam. [Riwayat Bukhari (906)]

*Bid'ah adalah sesuatu perkara yang baru yang belum pernah terjadi seumpanya pada masa-masa lalu. Ia adalah baik dan di syariatkan sekiranya menepati syarak dan termasuk dalam perkara yang dianggap baik oleh syarak. Sebaliknya ianya dicela dan ditolak apabila bertentangan dengan syarak atau termasuk dalam perkara yang dianggap tidak elok oleh syarak. Namun, jika ia tidak bertentangan dengan syarak dan tidak pula termasuk dalam mana-mana asas pensyariatan hukumnya adalah harus. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 239.

Riwayat lain iaitu diriwayatkan oleh al-Baihaqi, maksudnya: "Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab r.a. orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat" [Riwayat al-Baihaqi dan lainnya dengan sanad yang sohih (2/496)]

Riwayat lain pula menyatakan, "Pada zaman pemerintahan Umar orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat. [Riwayat Malik dalam al-Muwatta' (1/115)]

Al-Baihaqi menyelaraskan kedua-dua riwayat tersebut bahawa maksud 3 rakaat lagi dalam riwayat kedua ialah solat Witir. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 239.

Dalil berkenaan 36 rakaat (36 +3):

Adapun jumlah rakaat tawarih mencapai 36 rakaat seperti yang dinyatakan oleh Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya yang bermaksud: 
"Dan minoriti ulama menyatakan, sesungguhnya ia (tarawih) 36 rakaat tidak termasuk genap dan witir, dan ianya berlaku di zaman Umar bin Abdul Aziz dan diamalkan oleh penduduk Madinah pada masa itu". Lihat: Mausu'ah al-Fiqhi Islami wal Qadhaya al-Mu'asarah karangan Wahbah az-Zuhaili, jilid 2, cetakan ke 3. Damsyik: Darul Fikr. m/s 77.
Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa solat 39 rakaat (36 + 3) itu adalah amalan penduduk Yathrib pada zaman Umar Abdul Aziz.
"dan minoriti ulama mengatakan sunat untuk melakukan terawih pada 39 rakaat seperti yang dilakukan oleh penduduk Yathrib (Madinah)" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 112."
Syamsuddin as-Sarakhsi juga ada menyebut dalam kitabnya mengenai terawih 36 rakaat ini adalah pegangan imam Malik:
"Sesungguhnya ia (Terawih) 20 rakaat selain Witir di sisi kami, dan Malik berkata: Sunnah padanya 36 rakaat" Lihat: al-Mabsuth karangan Syamsuddin as-Sarakhsi, jilid 2, Berut: Darul makrifah, m/s 144.
Terdapat riwayat lain juga menyatakan:
Daud Ibn Qais pula berkata, “Saya mendapati orang-orang di Madinah pada masa pemerintahan Aban ibn Uthman ibn Affan al-Umawi (iaitu Amir Madinah, wafat pada tahun 105 H) dan di era pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz melakukan qiyam Ramadan (Tarawih) sebanyak 36 rakaat ditambah dengan 3 witir.” Lihat: Fathul Bari karangan Ibn Hajar al-'Asqalani, jilid 4, Berut: Darul Makrifah. m/s 253.
Penyelesaian bagi Perbezaan Rakaat dalam Tarawih

Bagi menjawab permasalahan ini, saya mengambil beberapa kenyataan ilmuan berkenaan isu ini:  

Dr. Danial b. Zainal Abidin pemegang anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang ada menjawab hal ini dalam penulisan beliau:
Imam Ibn Hibban (meninggal tahun 354 H) berkata, “Sesungguhnya tarawih itu pada mulanya adalah 11 rakaat dengan bacaan yang sangat panjang sehingga memberatkan mereka. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menambah bilangan rakaatnya menjadi 23 rakaat dengan bacaan yang sedang. Setelah itu mereka meringankan lagi bacaan dan menjadikan tarawih 36 rakaat tanpa witir.” (Fiqhus Sunnah, 1/174)
Imam al-Subki berkata, “Tarawih adalah termasuk nawafil (perkara sunat). Terserah kepada masing-masing, sama ada ingin bersolat sedikit atau banyak. Boleh jadi mereka terkadang memilih bacaan panjang dengan bilangan rakaat yang sedikit, iaitu 11 rakaat. Terkadang mereka memilih bilangan rakaat yang banyak, iaitu 20 rakaat, dengan bacaan yang panjang, lalu amalan ini terus berjalan.” (Al-Hawi, 1/417)

Imam Ibn Taimiyah pula berkata, “(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan.” Beliau juga berkata, “Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan 3 rakaat witir sebagaimana yang diperbuat oleh Rasul di bulan-bulan Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika ia seseorang bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan yang lainnya ia juga diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadhan itu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia telah salah.” (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)

Hal ini dipersetujui oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau berkata, “Hal tersebut dapat difahami sebagai variasi sesuai dengan situasi serta keadaan manusia. Kadang-kadang yang sesuai ialah 11 rakaat, atau 21, atau 23 rakaat, bergantung pada persiapan dan kesanggupan mereka. Kalau dilakukan 11 rakaat, mereka boleh memanjangkan bacaan… Jika 23 rakaat, mereka boleh meringankan bacaan supaya tidak membebankan jemaah.” (Fathul Bari 4/253)

Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz merumuskan pandangan-pandangan ini dengan berkata, “Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil. Hadis-hadis sahih daripada Rasulullah menunjukkan solat malam itu adalah muwassa’ (iaitu fleksibel)… Bahkan telah sahih daripada Nabi bahawa baginda bersolat malam 11 rakaat, terkadang 13 rakaat, terkadang lebih sedikit daripada itu dalam Ramadan atau di luar Ramadan. Ketika ditanya tentang sifat solat malam, baginda menjelaskan: Dua-dua rakaat dan apabila salah seorang daripada kamu khawatir akan terlajak memasuki waktu subuh, maka bersolatlah satu rakaat witir sebagai penutup. (Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)….

Justeru pada zaman Omar solat dilakukan 23 rakaat dan pada waktu yang lain dilakukan 11 rakaat. Kesemua itu adalah sahih daripada Omar dan para sahabat di zamannya. Dan sebahagian ulama salaf bersolat tarawih sebanyak 36 rakaat ditambah dengan witir 3 rakaat. Sebahagian yang lain bersolat sebanyak 41 rakaat. Semua ini dikisahkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan ulama yang lain…. Barang siapa merenung sunah Nabi dia pasti mengetahui, bahawa yang paling afdal ialah bersolat sebanyak 11 rakaat atau 13 rakaat sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain. Hal ini disebabkan ia sesuai dengan perbuatan Nabi dan itulah kebiasaannya di samping ia adalah lebih ringan bagi jemaah dan lebih dekat kepada khusyuk’ dan tamakninah. Namun, barang siapa menambah (rakaat) maka tidak mengapa baginya dan tidak makruh”. (Al-Ijabat al-Bahiyyah 17-18; Fatawa Lajnah Daimah 7/194-198)

Imam Ibnu Taimiyyah juga ada menyatakan dalam kitabnya bahawa 20 rakaat Tarawih berserta 3 rakaat Witir adalah yang sebaiknya dilakukan:
"Telah tetap sesungguhnya Ubai bin Ka'ab telah mendirikan (solat terawih) bersama orang ramai sebanyak 20 rakaat pada bulan Ramadhan dan dia solat Witir dengan 3 rakaat. Maka orang ramai melihat perbuatan itu sebagai sunnah kerana bahawasanya dia mendirikannya di antara sahabat dari Muhajirin dan Ansar dan tidak ada seorang pun yang menegahnya. dan minoriti ulama mengatakan sunat untuk melakukan terawih pada 39 rakaat seperti yang dilakukan oleh penduduk Yathrib (Madinah)" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 112.
"Imam Ahmad r.a. menyatakan bahawa tiada penetapan dalam jumlah rakaat untuk Qiyam Ramadhan, dan sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak pernah menetapkannya (tarawih) jumlah rakaat. Maka, terjadinya rakaat yang banyak dan juga rakaat yang sedikit bergantung panjang atau pendeknya qiyam (tarawih) tersebut" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 113.
Dr. Mustofa al-Khin dan lain-lain menyatakan dalam kitabnya:
"dan ianya (terawih) adalah 20 rakaat pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan dengan cara setiap 2 rakaat sekali salam. Waktu melakukannya di antara solat Isyak dan solat Subuh sebelum melakukan solat witir. Solat Tarawih tidak sah dilakukan empat rakaat sekali salam kerana bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan. Oleh itu, ketika berniat hendaklah ditentukan niat dua rakaat solat Tarawih atau Qiyam Ramadhan, dan solat tidak sah sekiranya diniatkan solat sunat sahaja." Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 238.
Al-Jaziri juga ada menulis dalam kitabnya:
"dan sesungguhnya telah tetap solat tarawih itu 20 rakaat beserta witir. Pendukung mazhab Maliki berkata jumlah rakaat Tarawih 20 rakaat berserta genap dan witir" Lihat: al-Fiqhul ala Mazahibul Arba'ah karangan Abdul Rahman al-Jaziri, jilid 1, cetakan ke 2, Berut: Darul Kitab Ilmiah. m/s 310
 Kesimpulan

Rasulullah tidak pernah menetapkan jumlah atau bilangan rakaat bagi solat-solat sunat. Lebih-lebih lagi pada solat Tarawih. Wujudnya perbezaan pendapat terhadap jumlah rakaat Terawih dikalangan ilmuan adalah berdasarkan dalil-dalil yang sohih yang mana tidak boleh dinafikan dan ditolak mentah-mentah sebaliknya hendaklah dihormati. Tambahan lagi, para ilmuan berlapang dada mendepani masalah bilangan rakaat Tarawih ini. Terdapat 2 'urf di Malaysia berkenaan dengan solat Tarawih, yang pertama ialah rakyat mengambil bilangan 8 rakaat berserta witir 3 rakaat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah. Manakala yang kedua ialah yang mengambil bilangan 20 rakaat berserta 3  rakaat witir seperti yang dilakukan oleh para sahabat dan ilmuan Islam. Kedua-dua 'urf ini diterima dan dipandang mulia di sisi syarak.

Sedangkan masih wujud lagi masyarakat yang bertegang urat berdebat mempertahankan pendirian masing-masing dan menjustifikasikan bilangan rakaat tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh jemaah solat. Memetik hasil tulisan Dr. Danial Zainal Abidin bahawasanya Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz ada menyatakan bahawa “Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil.

Wallahualam.
Muhammad Hazim b. Ahmad

Bacaan tambahan:

Nota Hati: Hati akan gelisah melihat akal memikirkan soal jumlah rakaat Terawih yang sebenar apabila Ramadhan menjelang tiba. Walau sudah diberitahu fadhilat Tarawih, namun masih ada yang melepaskan peluang untuk bertarawih berjemaah. Jangan disesali kerana melepaskan peluang itu sekiranya Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir kita. Selalu kita dengar dan nyanyi lagu Raihan ni.. Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna,,, Namun, apa yang kita harapkan sebenarnya dalam Ramadhan kali ini ? :)

Friday, June 27, 2014

Niat yang Baik Tidak Boleh Membersihkan yang Haram

Islam sentiasa menghargai setiap galakan yang mulia, maksud yang baik serta niat yang bersih dalam perundangannya secara keseluruhan.

Setiap Amalan Bermula dengan Niat.

إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ وإِنَّمَا لِكُلِّ امرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: "Sungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan bagi setiap orang dikira apa yang diniatkannya" (Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: "Hadis ini menjadi sepakat ulama berkenaan kesahihannya yang menghimpunkan banyak kemuliaan. Ianya menjadi paksi Islam. Hadis ini menghitung niat dan tanpanya tidak diiktibar mengikut syarak. Walaupun begitu, bagi yang mukallaf, muraqabah dirinya sebelum dan ketika melakukan sesuatu amalan, adakah mengikut hawa nafsu atau semata-mata kerana Allah SWT? Jika kerana-Nya, hendaklah dilangsungkan sebaliknya dan jika bukan, hendaklah ditinggalkan." Lihat: al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya kasturi, m/s 41.
Abu Daud berkata: "Sesungguhnya hadis ini (إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ) *niat* adalah nisful Islam, kerana agama zahirnya adalah perbuatan, batinnya adalah niat". Imam Ahmad dan Imam Syafie berkata bahawa hadis tentang niat (إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ) ini mencakupi 1/3 ilmu, hal ini kerana perbuatan manusia terdiri daripada niat didalam hati, percakapan dan tindakan (perbuatan), dan niat didalam hati adalah salah satu daripada tiga bahagian itu. Lihat: al-Wafi fi Syarhi Arbain an-Nawawiyah karangan Dr. Mustofa al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu, cetakan pertama, Damsyik: Daril Kalami at-Thoyyib, m/s 12.


Dengan niat yang baik pula, setiap perkara dan perbuatan yang mubah dan adat kebiasaan boleh bertukar menjadi taat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesiapa yang memakan makanan dengan niat memelihara kehidupannya dan menguatkan badannya supaya teguh berdiri untuk menjalankan segala kewajibannya terhadap Allah dan umatnya, maka makanan dan minuman itu adalah ibadat dan telah mendekat dirinya kepada Allah SWT.

"Bila Tujuannya Baik, Jalan Menujunya Mesti Baik"

Jika setiap amal yang mubah (harus) dilakukan oleh seseorang mukmin, disertakan dengan niat, jika niatnya baik, amal yang mubah boleh menjadi sebagai ibadat., tetapi jika yang haram, maka ianya tetap haram meskipun si pelaku mempunyai niat yang baik dan mulia dan mempunyai cita-cita yang terpuji. Ini kerana Islam tidak reda sama sekali mengambil sesuatu yang haram untuk menjadikan penghubung kepada sesuatu tujuan yang mulia kerana Islam sentiasa menggalakkan pencapaian yang mulia di samping jalan yang bersih.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya yang masyhur al-Halal wal Haram fil Islam menyatakan bahawa perundangan Islam tidak mengiktiraf sama sekali konsep "Bila tujuannya baik, jalan menujunya mesti baik" atau konsep "Untuk menyampaikan kepada kebenaran, boleh membuat apa sahaja dari perkara batil". Sebaliknya, yang dianjurkan oleh agama ialah untuk mencapai ke jalan kebenaran, mestilah menerusi jalan yang benar sahaja. Sesiapa yang mengumpulkan harta dengan cara riba atau mengerjakan apa yang ditegah oleh Allah SWT atau dengan mengerjakan apa yang ditegah oleh Allah SWT atau dengan hiburan yang haram atau dengan berjudi, dengan melakukan perkara yang dilarang, dengan tujuan hendak mendirikan masjid atau hendak membangunkan projek kemasyarakatan, maka tidak akan menjamin kebaikan, sesuai dengan cita-citanya yang baik itu. Lalu diangkat kepadanya dosa yang haram kerana yang haram di dalam Islam itu tidak memberi kesan apa pun oleh maksud dan niat yang baik.. Inilah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita. Lihat: al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya kasturi, m/s 43.

Allah juga melarang percampuran antara perkara yang benar (haq) dengan perkara yang salah (batil) dalam firmannya:

Maksudnya: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah al-Baqarah: 42)

Tidak dimakbulkan Doa Orang yang Mengambil Perkara yang Haram.

Selalu tertanya-tanya kenapa doa kita selama ini seolah-olah tak sampai kepada Allah. Pernah audit diri kita sendiri sebelum mempersoalkan tentang doa kita? Ketahuilah, antara sebab kenapa doa kita tidak diterima adalah sebab di dalam dan di luar badan kita adanya perkara-perkara haram yang kita tidak ketahui, adapun kita maklum, tapi kita sengaja tak ambil peduli. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah tentang kenapa doa seseorang hamba itu tidak diterima oleh Allah SWT dalam hadisnya:

Baginda SAW bersabda:

إنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا، وإنَّ اللهَ أَمَرَ المُؤمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرسَلِينَ. فَقَالَ:(يٰأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا ۖ إِنّى بِما تَعمَلونَ عَليمٌ) وَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ) وَقَالَ: ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيهِ إِلَى السَّماَءِ، ياَ رَبَّ يا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالحَرَامِ، فَاَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: Allah SWT itu baik, dan tidak akan menerima kecuali yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kaum mukminin sebagaimana Dia juga memerintahkan para Rasul. Lalu Baginda SAW membacakan ayat: Wahai para Rasul! Makanlah dari rezeki yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan! Kemudian Baginda SAW membacakan lagi ayat yang lain: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang Kami berikan pada kamu! Kemudian Baginda SAW menyebutkan lagi tentang seorang lelaki yang datang dari pelayaran yang jauh dalam keadaan rambutnya yang tidak terurus, pakaiannya penuh dengan debu. Lalu dia mengangkat kedua belah tangannya ke arah langit dan berdoa: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedang makanannya penuh dengan yang haram, minumannya penuh dengan yang haram , pakaiannya penuh dengan yang haram, dan diberi makan dengan perkara yang haram, bagaimana dapat dimakbulkan doanya kerana semua itu?" (Riwayat Muslim dan al-Tarmizi daripada Abu Hurairah)

Perkara yang Haram Tidak Akan Berubah Menjadi Halal Sekalipun diiringi dengan Niat yang Baik 

Pernah menjadi persoalan masyarakat sekiranya mereka melakukan sesuatu kemungkaran tapi niat mereka hendak melakukan kebaikan sebagai contoh melacurkan diri sendiri kerana ingin mencari rezeki untuk kelangsungan hidup, mencuri untuk bersedekah di masjid atau di rumah anak-anak yatim, nak berjumpa (berdating) tapi atas alasan belajar berkumpulan (study group) dan banyak lagi. Masyarakat sering menjadikan niat yang baik sebagai alasan untuk melakukan sesuatu perbuatan yang dipandang buruk oleh Islam. Tindakan ini akan mencemarkan kesucian dan kemurnian Islam yang tidak membenarkan sama sekali percampuran antara haq dan batil. Permasalahan berkenaan percampuran haq dan batil ini telah diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadis baginda, antaranya:

Rasulullah SAW bersabda:

مَن جَمَعَ مَالاً مِنْ حَرَامٍ، ثُمَّ تَصَدَّقَ بِهِ لَم يَكُنْ لَهُ فِيْهِ أَجْرٌ، وكَانَ إِصْرُهُ عَلَيهِ
Maksudnya: "Sesiapa yang mengumpulkan harta kekayaan dari perkara yang haram, kemudian dia bersedekah dengannya, dia tidak akan mendapat pahala apa pun kerana sedekah itu, malah dosanya akan tetap ditanggungnya." (Riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abu Hurairah)

Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَكْسِبُ عَبدٌ مَالاً حَرَامًا، فَيَتَصَدَّقَ بِهِ فَيُقْبَلُ مِنهُ، وَلاَ يُنْفِقُ مِنْهُ فَيُبَارِكُ لَهُ فِيهِ، وَلاَ يَتْرُكُهُ خَلْفَ ظَهِرِهِ، إِلاَّ كَانَ زَادُهُ إلَى النَّار. إِنَّ اللهَ تَعَالَى لاَ يَمْحُو السَّيِّءَ بِالسَّيِّءِ، وَلَكِن يَمْحُو السَّيِّءَ بِالحَسَنِ، إِنَّ الخَبِيثَ لاَ يَمْحُو الخَبِيثَ  
 Maksudnya: "Tiada seorang hamba yang berusaha memperolehi wang yang haram. Lalu dia menyedekahkannya, maka tidak akan diterima daripadanya sedekahnya itu. Dan tiada seorang hamba yang membelanjakan dari hartanya yang haram. Lalu dia akan diberkatinya dalam harta itu dan tiada pula dia meninggalkannya di belakangnya (mati meninggalkan harta itu), melainkan semua harta itu akan menjadi bekalannya ke dalam api neraka. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghapus perkara yang buruk dengan sesuatu yang buruk, akan tetapi Dia akan menghapus sesuatu yang buruk dengan perkara yang baik. Sesungguhnya yang buruk itu tidak dapat dihapuskan dengan yang buruk!" (Riwayat Ahmad dan lainnya daripada Ibn Mas'ud)

Fatwa Pengebom Berani Mati a.k.a Suicide Bomber.

Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat di Facebook mengenai konsep pengebom berani mati di negara-negara Islam yang ditindas oleh puak Kafir Harbi (wajib diperangi kerana menentang Islam secara terang-terangan).
Saya mengambil tulisan kajian daripada Dato’ Dr. Ismail Ibrahim iaitu Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim dari UKM:

Dr Yusuf al-Qardhawi telah agak lama mengemukakan fatwanya tentang hukum orang yang membunuh diri untuk membunuh orang lain, seperti yang disebutkan di atas, iaitu yang dikenali sebagai suicide bomber ini. 
Beliau dalam buku koleksi fatwanya yang terbaru sekali lagi menegaskan bahawa perbuatan pengebom berani mati di bumi Israel oleh orang Islam  adalah harus. Beliau berhujjah bahawa perbuatan ini harus dilakukan ialah kerana “masyarakat Israel semuanya adalah masyarakat tentera, lelaki dan perempuannya, dan orang Palestin adalah bertindak menentang pendudukan Israel, oleh itu hak untuk mempertahankan tanah air adalah merupakan hak yang diizinkan syarak, dan pengebom berani mati itu tidak menggunakan orang lain, malah mengorbankan dirinya sendiri untuk menakutkan musuhnya itu”.

Berdasarkan alasan inilah beliau memberikan fatwanya bahawa hanya para pengebom berani mati di Israel itu sahaja yang dibenarkan syarak, tidak di tempat lain, menurut yang saya fahami dari nas fatwanya itu (Fatawa Mu’asirah, juzuk 4, halaman 795, 2008, Doha).

Beliau telah memberikan kupasannya yang amat baik tentang adab-adab peperangan di dalam Islam, dan hukum syarak tentang perbuatan membunuh, tetapi di dalam isu pengebom berani mati di Israel seperti yang dijelaskannya itu mungkin menimbulkan beberapa pertanyaan, umpamanya kita boleh bertanya: benarkah semua anggota masyarakat Israel itu adalah masyarakat tentera? Bagaimanakah keadaannya sekiranya pengebom berani mati itu yang membunuh dirinya lalu menyebabkan kematian kepada kanak-kanak, orang tua dan lemah, atau orang luar yang bukan terdiri daripada orang Israel?
Hal ini mungkin agak tepat sekiranya dilihat kepada perbuatan membunuh diri oleh tentera Jepun di dalam peperangan dunia kedua yang dikenali sebagai Kamikaze, iaitu ketika tentera Jepun, khususnya juruterbang jet pejuangnya yang bertindak menjatuhkan pesawatnya ke atas kapal perang pihak Bersekutu di laut, malah terdapat tentera Jepun yang menerjunkan dirinya ke dalam serombong kapal perang Bersekutu untuk memusnahkan kapal perang musuh.

Tentara Jepun yang bertindak begitu memang menujukan sasarannya kepada armada angkatan laut musuh yang begitu banyak, dan pihak tentera Jepun melakukan gerakan membunuh diri ini semata-mata ditujukan kepada musuh, kerana kapal perang itu memang penuh dengan tentera musuh, maka Jepun ingin memusnahkan seberapa banyak kapal perang musuhnya itu, dan kerana itulah mereka bertindak nekad menjatuhkan pesawat perang mereka ke atas kapal perang musuh itu dan memusnahkannya.

Tetapi perbuatan pengebom berani mati di Israel yang tidak berjaya menembusi benteng pertahanan tentera Israel untuk memasuki ke kem tentera Israel untuk membunuh mereka dengan cara meletupkan dirinya itu, sering juga melakukan perbuatan ini di pasar, di stesen bas, di kedai kopi, restoran, dan sebagainya. Dalam keadaan ini timbullah persoalan di atas, iaitu apakah hukumnya pula dengan pembunuhan ini yang ada kalanya membunuh orang awam yang tidak berdosa, dan mereka bukannya tentera? Malah satu persoalan lain akan timbul juga di sini, iaitu apakah “tujuan” untuk membunuh musuh ini boleh dilakukan dengan membunuh diri sendiri sebagai “cara”nya, dalam kaedah “matlamat mengharuskan cara? (Al-Ghayah Tubarriru Al-Wasilah)

Semua orang mengiktiraf  dan  tahu bahawa Dr. Yusuf Al-Qardhawi adalah seorang yang pakar dalam fatwa, malah pemikirannya amat terkini. Tetapi dalam hal ini, timbul persoalan di kalangan ulamak lain, kerana beliau menjustifikasikan perbuatan membunuh diri untuk membunuh musuh.
Bacaan lanjut: Fatwa al-Qardhawi tentang pengebom berani mati

Seorang pendakwah bebas di Malaysia Ustaz Azhar Idrus yang terkenal dengan keluasan ilmunya juga ada menjawab pertanyaan daripada al-mad'ue (orang yang didakwah) mengenai adakah pengebom berani mati yang dilakukan oleh orang Islam dikira sebagai jihad. Beliau menjawab pertanyaan tersebut dengan mengemukakan 2 pandangan ulama (mufti) iaitu
Pandangan yang mengharuskan pengeboman berani mati: Sekiranya tiada cara lain yang boleh dilakukan melainkan dengan cara pengebom berani mati untuk membunuh tentera-tentera Yahudi laknatullah dikira sebagai jihad
Pandangan yang mengharamkan pengeboman berani mati: Jika masih ada jalan lain untuk membunuh tentera Yahudi Laknatullah tapi sengaja meletupkan dirinya di tempat awam atau pada orang awam yang tidak terlibat dan tidak ada kaitan, maka ianya dikira haram dan dianggap sama seperti membunuh diri.
Rujukan lanjut: Pengebom Berani Mati JIHAD ? - Ustaz Azhar Idrus 


Notis: Hadis-hadis di atas dipetik daripada 2 kitab iaitu kitab al-Wafi fi Syarhi Arbain an-Nawawiyah karangan Dr. Mustofa al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu, cetakan pertama, Damsyik: Daril Kalami at-Thoyyib, dan kitab al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya Kasturi.

Nota Hati: Masyarakat selalu mengambil mudah soal ini, dan seringkali menganggap bahawa perbuatan batil (dilarang oleh Islam) dibolehkan sekiranya didahului dengan niat yang baik kerana berpegang pada hadis yang masyhur tentang niat. Acapkali kita dengar frasa ini "Matlamat tak menghalalkan cara" ataupun "Niat tidak menghalalkan cara", namun sejauh manakah pemahaman kita dan juga masyarakat terhadap frasa tersebut ?

-Hazim Ahmad-

Saturday, June 14, 2014

Asal-usul huruf abjad arabiyah

tahukah anda?

perasan tak masa jawab soalan objektif bagi subjek-subjek aliran arab, susunan pilihan jawapannya ialah "alif" "ba" "jim" "dal" "ha simpul" kan? Sebenarnya tu adalah susunan abjad klasik, tapi kita cuma tahu sikit je sebab tak pernah ade pilihan jawapan lebih daripada 5 :3


Pada asalnya, huruf Arab disusun dengan susunan abjad seperti dibawah:

أ ب ج د   ه و ز   ح ط ي   ك ل م ن   س ع ف ص   ق ر ش ت   ث خ ذ   ض ظ غ

kemudian org arab mnyusun semula mnjadi seperti mana turutan abjad dalam kebanyakan kamus:

أ ب ت ث ج ح خ د ذ ر ز س ش ص ض ط ظ ع غ ف ق ك ل م ن هـ وي

diriwayatkan juga bahawa susunan huruf arab yang dahulu adalah merupakan susunan yang membentuk beberapa perkataan arab yang mempunyai makna tersendiri.

(Ambil) أَبْجَدْ = أَخَذَ
(menaiki)
هَوَّزْ = رَكِبَ
  (berhenti)
حَطِّي = وَقَفَ
 (menjadi orang yang berilmu)كَلَمُنْ = أَصْبَحَ مُتَعَلِّماً
 (Yang lebih cepat dalam pembelajaran)سَعَفَصْ = أَسْرَعَ فِي التَعْلِمِ
 (mengambilnya dengan hati)قَرَشَتْ = أَخَذَهُ بِالقَلْبِ
(menjaga)ثَخَذٌ = حَفَظَ
  (sempurna)ضَظْغِ = أَتَمُّ

Dikatakan bahawa kalimah 6 pertama iaitu " أَبْجَدْ " dan " هَوَّزْ " dan " حَطِّي " dan " سَعَفَصْ " dan قَرَشَتْ " adalah nama-nama Raja Madyan, dan " كَلَمُنْ " adalah ketua mereka. Dan mereka dihapuskan kesemuanya pada Yaumizzullah (hari awan mendung) bersama kaum nabi Syu'ib 'alaihissalam. dan yaumizzullah dinyatakan dalam al-Quran:

فَكَذَّبُوهُ فَأَخَذَهُمْ عَذَابُ يَوْمِ الظُّلَّةِ
"Maka mereka tetap juga mendustakannya, lalu mereka ditimpa azab seksa hari awan mendung" [ash-Shu'ara: 189]

mereka adalah raja-raja terawal yang dinukilkan dalam penulisan arab dengan cara meletakkan huruf-huruf pada nama-nama mereka dan disusun mengikut turutan darjatnya (keagongannya).

kemudian wujud 6 huruf tambahan selepas huruf-huruf pada nama-nama Raja Madyan iaitu huruf
 ثَخَذٌ = ث خ ذ
ضَظْغِ = ض ظ غ
dilampirkan 6 huruf ini bersama-sama huruf-huruf pada nama-nama Raja Madyan tersebut kemudian dinamakan sebagai (الروادف). Enam huruf tersebut adalah huruf abjad bahasa arab.

 
Dalam Tafsir alThobri karangan Muhamad b. Jarir alThobri.
"kami diberitahu oleh Ibn Hamid, Ibn Hamid berkata "kami diberitahu oleh Salamah" Salamah berkata: "aku diberitahu oleh  Abu Abdillah alBajali yang mana " أبو جَاد " dan " هَوَّزْ " dan " حُطِّيْ " dan " كَلَمُونْ " dan " سَعَفَصْ " dan " قَرَشَت " adalah nama-nama Raja Madyan."


Namun, mereka semua dihapuskan dengan teriakan sekali saja satu suara yang datang kepada mereka dari celah-celah awan yang menyelimuti. Mula-mula mereka barangkali bergembira kerana membayangkan itu akan membawa hujan tetapi mereka dikejutkan ketika datang kepada mereka seksaan yang besar pada hari yang besar.

  


Rujukan tambahan:

sekian. 

Nota Hati: Masa semester 1 dulu, pensyarah lughah arabiyah saya - Ustaz Badrul Hisham - ada cakap yang susunan abjad pilihan jawapan dalam peperiksaan tu sebenarnya adalah susunan huruf bagi nama tokoh-tokoh zaman dahulu, sebelum zaman rasulullah Muhammad s.a.w. lagi. =) *tapi tak tahu kenapa huruf hamzah (ء) dan lam alif (لا) tak tersenarai dalam huruf al-Abjadiyah al-Arabiyah :3

special guest :)