Sunday, June 29, 2014

Qiyam Ramadhan - Berapa Rakaat Sebenarnya

Setiap tahun, seluruh umat Islam di seluruh dunia akan berpuasa pada bulan Ramadhan yang mulia dan selama itulah juga kita dapati di mana-mana sahaja dalam kelompok masyarakat Islam di Malaysia khususnya, mengimarahkan malam-malam pada bulan Ramadhan dengan pelbagai ibadat sunat seperti solat sunat Tarawikh, solat sunat Witir, tadarus al-Quran, bersedekah, beriktikaf di rumah-rumah Allah dan banyak lagi.
Sabda Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya yang diriwayatkan oleh Bukhari (37) dan Muslim (759) yang bermaksud: "Sesiapa yang mendirikan solat (Terawikh) pada malam bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka Allah ampunkan dosanya yang telah lalu".
Qiyam Ramadhan

Solat Tarawih disyariatkan khusus pada bulan Ramadhan. Ia sunatkan dilakukan secara berjemaah dan juga sah jika dilakukan bersendirian. Menurut Dr, Mustofa al-Khin dan lain-lainya, dinamakan solat ini sebagai Tarawih kerana mereka yang melakukannya akan berhenti berehat setiap kali selesai empat rakaat. Solat ini juga dinamakan sebagai Qiam Ramadhan (Ibadah Malam Ramadhan). Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 238.


Rakaat Solat Tarawih

Jika dilihat di Malaysia, kebanyakan tempat mengerjakan solat Tarawih sebanyak (20 + 3) 20 rakaat berserta 3 witir, dan ada juga sesetengah tempat mengerjakannya sebanyak (8 + 3) 8 rakaat berserta 3 witir. Kedua-dua ini diterima oleh syarak kerana berpandukan dalil-dalil yang sohih.

Dalil berkenaan 11 rakaat (8 + 3):

Solat tarawih yang lebih utama adalah yang sesuai dengan Sunah Nabi, iaitu berjumlah 11 rakaat. Banyak hadis yang menunjukkan Rasulullah telah melakukan dan mengimami solat tarawih sebanyak sebelas rakaat. Lihat: http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=54790
Aisyah r.a. pernah ditanya oleh Abu Salamah Abdul Rahman berhubung solat Nabi khusus di malam Ramadan, “Bagaimana solat Rasul pada bulan Ramadan?” Beliau menjawab, “(Nabi) tidak pernah menambah, sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain, lebih daripada sebelas rakaat.” (Muttafaq alaihi)
Dalam riwayat lain menyatakan:
Daripada Jabir r.a., beliau berkata bahawa Nabi s.a.w. bersolat pada bulan Ramadhan sebanyak 8 rakaat dan witir. [Riwayat Ibn Nasir dan Tabrani, dihasankan (dimuliakan) oleh Syeikh al-Bani]
Juga terdapat riwayat lain menyatakan:
Dalam riwayat Saib bin Yazid r.a., beliau berkata, “Umar al-Khattab r.a. mengarahkan Ubai bin Ka'ab r.a. dan Tamim Ad-Dari r.a. mengimami solat tarawih pada bulan Ramadan dengan sebelas rakaat." [Diriwayatkan oleh Malik dalam al-Muwatta' dan disohihkan oleh Syeikh al-Bani]
Ada pun Nabi s.a.w. pernah bertarawih sebanyak 13 rakaat seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Abas:
Daripada Ibnu Abas, bahawasanya Nabi s.a.w. bersolat sebanyak 13 rakaat pada waktu malam. [Riwayat Bukhari] Ini merupakan tambahan daripada 11 rakaat.

Dalil berkenaan 23 rakaat (20 + 3):
Daripada Abdul Rahman bin Abdun al-Qari, katanya: "Pada malam bulan Ramadhan aku pergi ke masjid bersama-sama Umar al-Khattab r.a.. Terdapat ramai orang berkelompok-kelompok. Ada yang solat sendirian dan ada pula yang bersolat berjemaah dengan kumpulan-kumpulan kecil. Umar berkata: Aku fikir alangkah baiknya kalu aku kumpulkan mereka mengikut seorang qari sahaja sebagai imam. Lalu Umar pun berusaha mengumpulkan mereka supaya berimamkan Ubay bin Ka'ab. Pada satu malam yang lain, aku keluar lagi bersama-samanya sedangkan kesemua orang ramai mengerjakan solat berjemaah dengan seorang imam sahaja. Umar berkata: Alangkah baiknya perbuatan bid'ah* ini, namun orang yang tidur untuk bangun solat pada akhir malam lebih baik daripada mereka yang mengerjakannya sekarang. Orang ramai ketika itu mengerjakan solat tersebut pada waktu malam. [Riwayat Bukhari (906)]

*Bid'ah adalah sesuatu perkara yang baru yang belum pernah terjadi seumpanya pada masa-masa lalu. Ia adalah baik dan di syariatkan sekiranya menepati syarak dan termasuk dalam perkara yang dianggap baik oleh syarak. Sebaliknya ianya dicela dan ditolak apabila bertentangan dengan syarak atau termasuk dalam perkara yang dianggap tidak elok oleh syarak. Namun, jika ia tidak bertentangan dengan syarak dan tidak pula termasuk dalam mana-mana asas pensyariatan hukumnya adalah harus. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 239.

Riwayat lain iaitu diriwayatkan oleh al-Baihaqi, maksudnya: "Pada zaman pemerintahan Umar al-Khattab r.a. orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 20 rakaat" [Riwayat al-Baihaqi dan lainnya dengan sanad yang sohih (2/496)]

Riwayat lain pula menyatakan, "Pada zaman pemerintahan Umar orang ramai bersolat malam pada bulan Ramadhan sebanyak 23 rakaat. [Riwayat Malik dalam al-Muwatta' (1/115)]

Al-Baihaqi menyelaraskan kedua-dua riwayat tersebut bahawa maksud 3 rakaat lagi dalam riwayat kedua ialah solat Witir. Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 239.

Dalil berkenaan 36 rakaat (36 +3):

Adapun jumlah rakaat tawarih mencapai 36 rakaat seperti yang dinyatakan oleh Wahbah az-Zuhaili dalam kitabnya yang bermaksud: 
"Dan minoriti ulama menyatakan, sesungguhnya ia (tarawih) 36 rakaat tidak termasuk genap dan witir, dan ianya berlaku di zaman Umar bin Abdul Aziz dan diamalkan oleh penduduk Madinah pada masa itu". Lihat: Mausu'ah al-Fiqhi Islami wal Qadhaya al-Mu'asarah karangan Wahbah az-Zuhaili, jilid 2, cetakan ke 3. Damsyik: Darul Fikr. m/s 77.
Ibnu Taimiyyah menyatakan bahawa solat 39 rakaat (36 + 3) itu adalah amalan penduduk Yathrib pada zaman Umar Abdul Aziz.
"dan minoriti ulama mengatakan sunat untuk melakukan terawih pada 39 rakaat seperti yang dilakukan oleh penduduk Yathrib (Madinah)" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 112."
Syamsuddin as-Sarakhsi juga ada menyebut dalam kitabnya mengenai terawih 36 rakaat ini adalah pegangan imam Malik:
"Sesungguhnya ia (Terawih) 20 rakaat selain Witir di sisi kami, dan Malik berkata: Sunnah padanya 36 rakaat" Lihat: al-Mabsuth karangan Syamsuddin as-Sarakhsi, jilid 2, Berut: Darul makrifah, m/s 144.
Terdapat riwayat lain juga menyatakan:
Daud Ibn Qais pula berkata, “Saya mendapati orang-orang di Madinah pada masa pemerintahan Aban ibn Uthman ibn Affan al-Umawi (iaitu Amir Madinah, wafat pada tahun 105 H) dan di era pemerintahan Khalifah Umar Abdul Aziz melakukan qiyam Ramadan (Tarawih) sebanyak 36 rakaat ditambah dengan 3 witir.” Lihat: Fathul Bari karangan Ibn Hajar al-'Asqalani, jilid 4, Berut: Darul Makrifah. m/s 253.
Penyelesaian bagi Perbezaan Rakaat dalam Tarawih

Bagi menjawab permasalahan ini, saya mengambil beberapa kenyataan ilmuan berkenaan isu ini:  

Dr. Danial b. Zainal Abidin pemegang anugerah Tokoh Maal Hijrah Peringkat Negeri Pulau Pinang ada menjawab hal ini dalam penulisan beliau:
Imam Ibn Hibban (meninggal tahun 354 H) berkata, “Sesungguhnya tarawih itu pada mulanya adalah 11 rakaat dengan bacaan yang sangat panjang sehingga memberatkan mereka. Kemudian mereka meringankan bacaan dan menambah bilangan rakaatnya menjadi 23 rakaat dengan bacaan yang sedang. Setelah itu mereka meringankan lagi bacaan dan menjadikan tarawih 36 rakaat tanpa witir.” (Fiqhus Sunnah, 1/174)
Imam al-Subki berkata, “Tarawih adalah termasuk nawafil (perkara sunat). Terserah kepada masing-masing, sama ada ingin bersolat sedikit atau banyak. Boleh jadi mereka terkadang memilih bacaan panjang dengan bilangan rakaat yang sedikit, iaitu 11 rakaat. Terkadang mereka memilih bilangan rakaat yang banyak, iaitu 20 rakaat, dengan bacaan yang panjang, lalu amalan ini terus berjalan.” (Al-Hawi, 1/417)

Imam Ibn Taimiyah pula berkata, “(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan.” Beliau juga berkata, “Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan 3 rakaat witir sebagaimana yang diperbuat oleh Rasul di bulan-bulan Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika ia seseorang bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan yang lainnya ia juga diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadhan itu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia telah salah.” (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)

Hal ini dipersetujui oleh al-Hafiz Ibn Hajar. Beliau berkata, “Hal tersebut dapat difahami sebagai variasi sesuai dengan situasi serta keadaan manusia. Kadang-kadang yang sesuai ialah 11 rakaat, atau 21, atau 23 rakaat, bergantung pada persiapan dan kesanggupan mereka. Kalau dilakukan 11 rakaat, mereka boleh memanjangkan bacaan… Jika 23 rakaat, mereka boleh meringankan bacaan supaya tidak membebankan jemaah.” (Fathul Bari 4/253)

Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz merumuskan pandangan-pandangan ini dengan berkata, “Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil. Hadis-hadis sahih daripada Rasulullah menunjukkan solat malam itu adalah muwassa’ (iaitu fleksibel)… Bahkan telah sahih daripada Nabi bahawa baginda bersolat malam 11 rakaat, terkadang 13 rakaat, terkadang lebih sedikit daripada itu dalam Ramadan atau di luar Ramadan. Ketika ditanya tentang sifat solat malam, baginda menjelaskan: Dua-dua rakaat dan apabila salah seorang daripada kamu khawatir akan terlajak memasuki waktu subuh, maka bersolatlah satu rakaat witir sebagai penutup. (Hadis ini diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim)….

Justeru pada zaman Omar solat dilakukan 23 rakaat dan pada waktu yang lain dilakukan 11 rakaat. Kesemua itu adalah sahih daripada Omar dan para sahabat di zamannya. Dan sebahagian ulama salaf bersolat tarawih sebanyak 36 rakaat ditambah dengan witir 3 rakaat. Sebahagian yang lain bersolat sebanyak 41 rakaat. Semua ini dikisahkan oleh Syeikh al-Islam Ibn Taimiyah dan ulama yang lain…. Barang siapa merenung sunah Nabi dia pasti mengetahui, bahawa yang paling afdal ialah bersolat sebanyak 11 rakaat atau 13 rakaat sama ada di bulan Ramadan atau di bulan-bulan yang lain. Hal ini disebabkan ia sesuai dengan perbuatan Nabi dan itulah kebiasaannya di samping ia adalah lebih ringan bagi jemaah dan lebih dekat kepada khusyuk’ dan tamakninah. Namun, barang siapa menambah (rakaat) maka tidak mengapa baginya dan tidak makruh”. (Al-Ijabat al-Bahiyyah 17-18; Fatawa Lajnah Daimah 7/194-198)

Imam Ibnu Taimiyyah juga ada menyatakan dalam kitabnya bahawa 20 rakaat Tarawih berserta 3 rakaat Witir adalah yang sebaiknya dilakukan:
"Telah tetap sesungguhnya Ubai bin Ka'ab telah mendirikan (solat terawih) bersama orang ramai sebanyak 20 rakaat pada bulan Ramadhan dan dia solat Witir dengan 3 rakaat. Maka orang ramai melihat perbuatan itu sebagai sunnah kerana bahawasanya dia mendirikannya di antara sahabat dari Muhajirin dan Ansar dan tidak ada seorang pun yang menegahnya. dan minoriti ulama mengatakan sunat untuk melakukan terawih pada 39 rakaat seperti yang dilakukan oleh penduduk Yathrib (Madinah)" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 112.
"Imam Ahmad r.a. menyatakan bahawa tiada penetapan dalam jumlah rakaat untuk Qiyam Ramadhan, dan sesungguhnya Nabi s.a.w. tidak pernah menetapkannya (tarawih) jumlah rakaat. Maka, terjadinya rakaat yang banyak dan juga rakaat yang sedikit bergantung panjang atau pendeknya qiyam (tarawih) tersebut" Lihat: Majmuk al-Fatawa karangan Ibn Taimiyyah, disusun dan dikumpul oleh Abdul Rahman bin Muhd Qasim dibantu oleh anak lelakinya Muhamad, jilid 23, m/s 113.
Dr. Mustofa al-Khin dan lain-lain menyatakan dalam kitabnya:
"dan ianya (terawih) adalah 20 rakaat pada setiap malam sepanjang bulan Ramadhan dengan cara setiap 2 rakaat sekali salam. Waktu melakukannya di antara solat Isyak dan solat Subuh sebelum melakukan solat witir. Solat Tarawih tidak sah dilakukan empat rakaat sekali salam kerana bertentangan dengan apa yang telah disyariatkan. Oleh itu, ketika berniat hendaklah ditentukan niat dua rakaat solat Tarawih atau Qiyam Ramadhan, dan solat tidak sah sekiranya diniatkan solat sunat sahaja." Lihat: al-Fiqhul Manhaji ala Mazhab Imam al-Syafie r.a. karangan Dr. Mustofa al-Khin, Dr. Mustofa al-Bugho dan Ali Asy-Syarbaji, cetakan ke 14, Damsyik: Dar Qalam. m/s 238.
Al-Jaziri juga ada menulis dalam kitabnya:
"dan sesungguhnya telah tetap solat tarawih itu 20 rakaat beserta witir. Pendukung mazhab Maliki berkata jumlah rakaat Tarawih 20 rakaat berserta genap dan witir" Lihat: al-Fiqhul ala Mazahibul Arba'ah karangan Abdul Rahman al-Jaziri, jilid 1, cetakan ke 2, Berut: Darul Kitab Ilmiah. m/s 310
 Kesimpulan

Rasulullah tidak pernah menetapkan jumlah atau bilangan rakaat bagi solat-solat sunat. Lebih-lebih lagi pada solat Tarawih. Wujudnya perbezaan pendapat terhadap jumlah rakaat Terawih dikalangan ilmuan adalah berdasarkan dalil-dalil yang sohih yang mana tidak boleh dinafikan dan ditolak mentah-mentah sebaliknya hendaklah dihormati. Tambahan lagi, para ilmuan berlapang dada mendepani masalah bilangan rakaat Tarawih ini. Terdapat 2 'urf di Malaysia berkenaan dengan solat Tarawih, yang pertama ialah rakyat mengambil bilangan 8 rakaat berserta witir 3 rakaat seperti yang dilakukan oleh Rasulullah. Manakala yang kedua ialah yang mengambil bilangan 20 rakaat berserta 3  rakaat witir seperti yang dilakukan oleh para sahabat dan ilmuan Islam. Kedua-dua 'urf ini diterima dan dipandang mulia di sisi syarak.

Sedangkan masih wujud lagi masyarakat yang bertegang urat berdebat mempertahankan pendirian masing-masing dan menjustifikasikan bilangan rakaat tertentu yang sepatutnya dilakukan oleh jemaah solat. Memetik hasil tulisan Dr. Danial Zainal Abidin bahawasanya Syeikh Abdul Aziz Ibn Bazz ada menyatakan bahawa “Antara perkara yang menjadi kesamaran bagi sebahagian orang ialah berhubung solat tarawih Sebahagian mereka mengira bahawa tarawih tidak boleh kurang daripada 20 rakaat. Sebahagian yang lain mengira bahawa tarawih tidak boleh lebih daripada 11 rakaat atau 13 rakaat. Kesemua ini semua adalah persangkaan yang tidak tepat, bahkan salah serta bertentangan dengan dalil.

Wallahualam.
Muhammad Hazim b. Ahmad

Bacaan tambahan:

Nota Hati: Hati akan gelisah melihat akal memikirkan soal jumlah rakaat Terawih yang sebenar apabila Ramadhan menjelang tiba. Walau sudah diberitahu fadhilat Tarawih, namun masih ada yang melepaskan peluang untuk bertarawih berjemaah. Jangan disesali kerana melepaskan peluang itu sekiranya Ramadhan ini adalah Ramadhan terakhir kita. Selalu kita dengar dan nyanyi lagu Raihan ni.. Ku mengharapkan Ramadhan kali ini penuh makna, agar dapat ku lalui dengan sempurna,,, Namun, apa yang kita harapkan sebenarnya dalam Ramadhan kali ini ? :)

special guest :)