Friday, June 27, 2014

Niat yang Baik Tidak Boleh Membersihkan yang Haram

Islam sentiasa menghargai setiap galakan yang mulia, maksud yang baik serta niat yang bersih dalam perundangannya secara keseluruhan.

Setiap Amalan Bermula dengan Niat.

إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ وإِنَّمَا لِكُلِّ امرِئٍ مَا نَوَى
Maksudnya: "Sungguhnya setiap amalan itu bermula dengan niat dan bagi setiap orang dikira apa yang diniatkannya" (Riwayat al-Bukhari)
Imam al-Nawawi Rahimahullah berkata: "Hadis ini menjadi sepakat ulama berkenaan kesahihannya yang menghimpunkan banyak kemuliaan. Ianya menjadi paksi Islam. Hadis ini menghitung niat dan tanpanya tidak diiktibar mengikut syarak. Walaupun begitu, bagi yang mukallaf, muraqabah dirinya sebelum dan ketika melakukan sesuatu amalan, adakah mengikut hawa nafsu atau semata-mata kerana Allah SWT? Jika kerana-Nya, hendaklah dilangsungkan sebaliknya dan jika bukan, hendaklah ditinggalkan." Lihat: al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya kasturi, m/s 41.
Abu Daud berkata: "Sesungguhnya hadis ini (إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ) *niat* adalah nisful Islam, kerana agama zahirnya adalah perbuatan, batinnya adalah niat". Imam Ahmad dan Imam Syafie berkata bahawa hadis tentang niat (إِنَّما الأَعمَالُ بِالنِّيَّاتِ) ini mencakupi 1/3 ilmu, hal ini kerana perbuatan manusia terdiri daripada niat didalam hati, percakapan dan tindakan (perbuatan), dan niat didalam hati adalah salah satu daripada tiga bahagian itu. Lihat: al-Wafi fi Syarhi Arbain an-Nawawiyah karangan Dr. Mustofa al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu, cetakan pertama, Damsyik: Daril Kalami at-Thoyyib, m/s 12.


Dengan niat yang baik pula, setiap perkara dan perbuatan yang mubah dan adat kebiasaan boleh bertukar menjadi taat dan mendekatkan diri kepada Allah SWT. Sesiapa yang memakan makanan dengan niat memelihara kehidupannya dan menguatkan badannya supaya teguh berdiri untuk menjalankan segala kewajibannya terhadap Allah dan umatnya, maka makanan dan minuman itu adalah ibadat dan telah mendekat dirinya kepada Allah SWT.

"Bila Tujuannya Baik, Jalan Menujunya Mesti Baik"

Jika setiap amal yang mubah (harus) dilakukan oleh seseorang mukmin, disertakan dengan niat, jika niatnya baik, amal yang mubah boleh menjadi sebagai ibadat., tetapi jika yang haram, maka ianya tetap haram meskipun si pelaku mempunyai niat yang baik dan mulia dan mempunyai cita-cita yang terpuji. Ini kerana Islam tidak reda sama sekali mengambil sesuatu yang haram untuk menjadikan penghubung kepada sesuatu tujuan yang mulia kerana Islam sentiasa menggalakkan pencapaian yang mulia di samping jalan yang bersih.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam kitabnya yang masyhur al-Halal wal Haram fil Islam menyatakan bahawa perundangan Islam tidak mengiktiraf sama sekali konsep "Bila tujuannya baik, jalan menujunya mesti baik" atau konsep "Untuk menyampaikan kepada kebenaran, boleh membuat apa sahaja dari perkara batil". Sebaliknya, yang dianjurkan oleh agama ialah untuk mencapai ke jalan kebenaran, mestilah menerusi jalan yang benar sahaja. Sesiapa yang mengumpulkan harta dengan cara riba atau mengerjakan apa yang ditegah oleh Allah SWT atau dengan mengerjakan apa yang ditegah oleh Allah SWT atau dengan hiburan yang haram atau dengan berjudi, dengan melakukan perkara yang dilarang, dengan tujuan hendak mendirikan masjid atau hendak membangunkan projek kemasyarakatan, maka tidak akan menjamin kebaikan, sesuai dengan cita-citanya yang baik itu. Lalu diangkat kepadanya dosa yang haram kerana yang haram di dalam Islam itu tidak memberi kesan apa pun oleh maksud dan niat yang baik.. Inilah yang diajarkan oleh Nabi SAW kepada kita. Lihat: al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya kasturi, m/s 43.

Allah juga melarang percampuran antara perkara yang benar (haq) dengan perkara yang salah (batil) dalam firmannya:

Maksudnya: Dan janganlah kamu campur adukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula padahal kamu semua mengetahuinya. (Surah al-Baqarah: 42)

Tidak dimakbulkan Doa Orang yang Mengambil Perkara yang Haram.

Selalu tertanya-tanya kenapa doa kita selama ini seolah-olah tak sampai kepada Allah. Pernah audit diri kita sendiri sebelum mempersoalkan tentang doa kita? Ketahuilah, antara sebab kenapa doa kita tidak diterima adalah sebab di dalam dan di luar badan kita adanya perkara-perkara haram yang kita tidak ketahui, adapun kita maklum, tapi kita sengaja tak ambil peduli. Perkara ini dinyatakan sendiri oleh Rasulullah tentang kenapa doa seseorang hamba itu tidak diterima oleh Allah SWT dalam hadisnya:

Baginda SAW bersabda:

إنَّ اللهَ طَيِّبٌ لاَ يَقْبَلُ إِلاَّ طَيِّبًا، وإنَّ اللهَ أَمَرَ المُؤمِنِينَ بِمَا أَمَرَ بِهِ المُرسَلِينَ. فَقَالَ:(يٰأَيُّهَا الرُّسُلُ كُلوا مِنَ الطَّيِّبٰتِ وَاعمَلوا صٰلِحًا ۖ إِنّى بِما تَعمَلونَ عَليمٌ) وَقَالَ: (يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ كُلُواْ مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ) وَقَالَ: ثُمَّ ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ، يَمُدُّ يَدَيهِ إِلَى السَّماَءِ، ياَ رَبَّ يا رَبِّ! وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ، وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ، وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ، وَغُذِّيَ بِالحَرَامِ، فَاَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ؟

Maksudnya: Allah SWT itu baik, dan tidak akan menerima kecuali yang baik sahaja. Dan sesungguhnya Allah SWT telah memerintahkan kaum mukminin sebagaimana Dia juga memerintahkan para Rasul. Lalu Baginda SAW membacakan ayat: Wahai para Rasul! Makanlah dari rezeki yang baik-baik dan kerjakanlah amal yang soleh. Sesungguhnya Aku Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan! Kemudian Baginda SAW membacakan lagi ayat yang lain: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah yang baik-baik dari rezeki yang Kami berikan pada kamu! Kemudian Baginda SAW menyebutkan lagi tentang seorang lelaki yang datang dari pelayaran yang jauh dalam keadaan rambutnya yang tidak terurus, pakaiannya penuh dengan debu. Lalu dia mengangkat kedua belah tangannya ke arah langit dan berdoa: Ya Tuhanku! Ya Tuhanku! Sedang makanannya penuh dengan yang haram, minumannya penuh dengan yang haram , pakaiannya penuh dengan yang haram, dan diberi makan dengan perkara yang haram, bagaimana dapat dimakbulkan doanya kerana semua itu?" (Riwayat Muslim dan al-Tarmizi daripada Abu Hurairah)

Perkara yang Haram Tidak Akan Berubah Menjadi Halal Sekalipun diiringi dengan Niat yang Baik 

Pernah menjadi persoalan masyarakat sekiranya mereka melakukan sesuatu kemungkaran tapi niat mereka hendak melakukan kebaikan sebagai contoh melacurkan diri sendiri kerana ingin mencari rezeki untuk kelangsungan hidup, mencuri untuk bersedekah di masjid atau di rumah anak-anak yatim, nak berjumpa (berdating) tapi atas alasan belajar berkumpulan (study group) dan banyak lagi. Masyarakat sering menjadikan niat yang baik sebagai alasan untuk melakukan sesuatu perbuatan yang dipandang buruk oleh Islam. Tindakan ini akan mencemarkan kesucian dan kemurnian Islam yang tidak membenarkan sama sekali percampuran antara haq dan batil. Permasalahan berkenaan percampuran haq dan batil ini telah diterangkan oleh Rasulullah SAW dalam kebanyakan hadis baginda, antaranya:

Rasulullah SAW bersabda:

مَن جَمَعَ مَالاً مِنْ حَرَامٍ، ثُمَّ تَصَدَّقَ بِهِ لَم يَكُنْ لَهُ فِيْهِ أَجْرٌ، وكَانَ إِصْرُهُ عَلَيهِ
Maksudnya: "Sesiapa yang mengumpulkan harta kekayaan dari perkara yang haram, kemudian dia bersedekah dengannya, dia tidak akan mendapat pahala apa pun kerana sedekah itu, malah dosanya akan tetap ditanggungnya." (Riwayat Ibn Khuzaimah, Ibn Hibban dan al-Hakim daripada Abu Hurairah)

Rasulullah SAW bersabda:

لاَ يَكْسِبُ عَبدٌ مَالاً حَرَامًا، فَيَتَصَدَّقَ بِهِ فَيُقْبَلُ مِنهُ، وَلاَ يُنْفِقُ مِنْهُ فَيُبَارِكُ لَهُ فِيهِ، وَلاَ يَتْرُكُهُ خَلْفَ ظَهِرِهِ، إِلاَّ كَانَ زَادُهُ إلَى النَّار. إِنَّ اللهَ تَعَالَى لاَ يَمْحُو السَّيِّءَ بِالسَّيِّءِ، وَلَكِن يَمْحُو السَّيِّءَ بِالحَسَنِ، إِنَّ الخَبِيثَ لاَ يَمْحُو الخَبِيثَ  
 Maksudnya: "Tiada seorang hamba yang berusaha memperolehi wang yang haram. Lalu dia menyedekahkannya, maka tidak akan diterima daripadanya sedekahnya itu. Dan tiada seorang hamba yang membelanjakan dari hartanya yang haram. Lalu dia akan diberkatinya dalam harta itu dan tiada pula dia meninggalkannya di belakangnya (mati meninggalkan harta itu), melainkan semua harta itu akan menjadi bekalannya ke dalam api neraka. Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghapus perkara yang buruk dengan sesuatu yang buruk, akan tetapi Dia akan menghapus sesuatu yang buruk dengan perkara yang baik. Sesungguhnya yang buruk itu tidak dapat dihapuskan dengan yang buruk!" (Riwayat Ahmad dan lainnya daripada Ibn Mas'ud)

Fatwa Pengebom Berani Mati a.k.a Suicide Bomber.

Saya pernah ditanya oleh seorang sahabat di Facebook mengenai konsep pengebom berani mati di negara-negara Islam yang ditindas oleh puak Kafir Harbi (wajib diperangi kerana menentang Islam secara terang-terangan).
Saya mengambil tulisan kajian daripada Dato’ Dr. Ismail Ibrahim iaitu Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim dari UKM:

Dr Yusuf al-Qardhawi telah agak lama mengemukakan fatwanya tentang hukum orang yang membunuh diri untuk membunuh orang lain, seperti yang disebutkan di atas, iaitu yang dikenali sebagai suicide bomber ini. 
Beliau dalam buku koleksi fatwanya yang terbaru sekali lagi menegaskan bahawa perbuatan pengebom berani mati di bumi Israel oleh orang Islam  adalah harus. Beliau berhujjah bahawa perbuatan ini harus dilakukan ialah kerana “masyarakat Israel semuanya adalah masyarakat tentera, lelaki dan perempuannya, dan orang Palestin adalah bertindak menentang pendudukan Israel, oleh itu hak untuk mempertahankan tanah air adalah merupakan hak yang diizinkan syarak, dan pengebom berani mati itu tidak menggunakan orang lain, malah mengorbankan dirinya sendiri untuk menakutkan musuhnya itu”.

Berdasarkan alasan inilah beliau memberikan fatwanya bahawa hanya para pengebom berani mati di Israel itu sahaja yang dibenarkan syarak, tidak di tempat lain, menurut yang saya fahami dari nas fatwanya itu (Fatawa Mu’asirah, juzuk 4, halaman 795, 2008, Doha).

Beliau telah memberikan kupasannya yang amat baik tentang adab-adab peperangan di dalam Islam, dan hukum syarak tentang perbuatan membunuh, tetapi di dalam isu pengebom berani mati di Israel seperti yang dijelaskannya itu mungkin menimbulkan beberapa pertanyaan, umpamanya kita boleh bertanya: benarkah semua anggota masyarakat Israel itu adalah masyarakat tentera? Bagaimanakah keadaannya sekiranya pengebom berani mati itu yang membunuh dirinya lalu menyebabkan kematian kepada kanak-kanak, orang tua dan lemah, atau orang luar yang bukan terdiri daripada orang Israel?
Hal ini mungkin agak tepat sekiranya dilihat kepada perbuatan membunuh diri oleh tentera Jepun di dalam peperangan dunia kedua yang dikenali sebagai Kamikaze, iaitu ketika tentera Jepun, khususnya juruterbang jet pejuangnya yang bertindak menjatuhkan pesawatnya ke atas kapal perang pihak Bersekutu di laut, malah terdapat tentera Jepun yang menerjunkan dirinya ke dalam serombong kapal perang Bersekutu untuk memusnahkan kapal perang musuh.

Tentara Jepun yang bertindak begitu memang menujukan sasarannya kepada armada angkatan laut musuh yang begitu banyak, dan pihak tentera Jepun melakukan gerakan membunuh diri ini semata-mata ditujukan kepada musuh, kerana kapal perang itu memang penuh dengan tentera musuh, maka Jepun ingin memusnahkan seberapa banyak kapal perang musuhnya itu, dan kerana itulah mereka bertindak nekad menjatuhkan pesawat perang mereka ke atas kapal perang musuh itu dan memusnahkannya.

Tetapi perbuatan pengebom berani mati di Israel yang tidak berjaya menembusi benteng pertahanan tentera Israel untuk memasuki ke kem tentera Israel untuk membunuh mereka dengan cara meletupkan dirinya itu, sering juga melakukan perbuatan ini di pasar, di stesen bas, di kedai kopi, restoran, dan sebagainya. Dalam keadaan ini timbullah persoalan di atas, iaitu apakah hukumnya pula dengan pembunuhan ini yang ada kalanya membunuh orang awam yang tidak berdosa, dan mereka bukannya tentera? Malah satu persoalan lain akan timbul juga di sini, iaitu apakah “tujuan” untuk membunuh musuh ini boleh dilakukan dengan membunuh diri sendiri sebagai “cara”nya, dalam kaedah “matlamat mengharuskan cara? (Al-Ghayah Tubarriru Al-Wasilah)

Semua orang mengiktiraf  dan  tahu bahawa Dr. Yusuf Al-Qardhawi adalah seorang yang pakar dalam fatwa, malah pemikirannya amat terkini. Tetapi dalam hal ini, timbul persoalan di kalangan ulamak lain, kerana beliau menjustifikasikan perbuatan membunuh diri untuk membunuh musuh.
Bacaan lanjut: Fatwa al-Qardhawi tentang pengebom berani mati

Seorang pendakwah bebas di Malaysia Ustaz Azhar Idrus yang terkenal dengan keluasan ilmunya juga ada menjawab pertanyaan daripada al-mad'ue (orang yang didakwah) mengenai adakah pengebom berani mati yang dilakukan oleh orang Islam dikira sebagai jihad. Beliau menjawab pertanyaan tersebut dengan mengemukakan 2 pandangan ulama (mufti) iaitu
Pandangan yang mengharuskan pengeboman berani mati: Sekiranya tiada cara lain yang boleh dilakukan melainkan dengan cara pengebom berani mati untuk membunuh tentera-tentera Yahudi laknatullah dikira sebagai jihad
Pandangan yang mengharamkan pengeboman berani mati: Jika masih ada jalan lain untuk membunuh tentera Yahudi Laknatullah tapi sengaja meletupkan dirinya di tempat awam atau pada orang awam yang tidak terlibat dan tidak ada kaitan, maka ianya dikira haram dan dianggap sama seperti membunuh diri.
Rujukan lanjut: Pengebom Berani Mati JIHAD ? - Ustaz Azhar Idrus 


Notis: Hadis-hadis di atas dipetik daripada 2 kitab iaitu kitab al-Wafi fi Syarhi Arbain an-Nawawiyah karangan Dr. Mustofa al-Bugha dan Dr. Muhyiddin Mistu, cetakan pertama, Damsyik: Daril Kalami at-Thoyyib, dan kitab al-Halal wal Haram fil Islam karangan Yusuf al-Qaradhawi, diterjemah oleh Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri, cetakan ke 3, Nilai:Pustaka Cahaya Kasturi.

Nota Hati: Masyarakat selalu mengambil mudah soal ini, dan seringkali menganggap bahawa perbuatan batil (dilarang oleh Islam) dibolehkan sekiranya didahului dengan niat yang baik kerana berpegang pada hadis yang masyhur tentang niat. Acapkali kita dengar frasa ini "Matlamat tak menghalalkan cara" ataupun "Niat tidak menghalalkan cara", namun sejauh manakah pemahaman kita dan juga masyarakat terhadap frasa tersebut ?

-Hazim Ahmad-

special guest :)